LUKAKU berdoa selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
LUKAKU berdoa selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Saint Petersburg: Penyerang Belgium, Romelu Lukaku berkata dia menitiskan air mata mengenangkan Christian Eriksen sebelum mendedikasikan dua jaringannya ketika membenam Russia 3-0 pada aksi pertama Euro 2020 kepada rakan sepasukannya di Inter Milan itu.

"Saya gembira dengan kemenangan ini. Tapi ia agak sukar untuk saya beraksi kerana sentiasa mengingati Christian Eriksen. Saya dedikasikan kejayaan ini kepadanya," kata Lukaku yang muncul pemain terbaik perlawanan itu.

Lukaku meletakkan Belgium di depan minit ke-10 sebelum menjerit "Chris, semoga tabah. Saya sayangkan anda" di depan kamera ketika meraikan jaringannya itu.

Eriksen kembali pulih di hospital dekat Copehagen selepas rebah di atas padang yang menyaksikan Denmark tewas 0-1 kepada Finland pada aksi pertama Kumpulan B.

Pemain gantian Belgium, Thomas Meunier menambah gol kedua minit ke-34 sebelum Lukaku meledak gol ketiga lewat permainan.

"Saya menangis sebelum bermulanya perlawanan. Saya menghabiskan banyak masa bersamanya," kata Lukaku.

Gandingannya bersama Eriksen membantu Inter memenangi gelaran Serie A musim lalu.

Lukaku kini sudah menjaringkan 20 gol sepanjang 15 penampilan terakhirnya bersama Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 5:55 AM