PEMAIN pertahanan Denmark, Andreas Christensen (kiri) mengejar pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne pada perlawanan Kumpulan B Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan Denmark, Andreas Christensen (kiri) mengejar pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne pada perlawanan Kumpulan B Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Kevin De Bruyne menjaringkan gol kemenangan Belgium menewaskan Denmark, 2-1 di Copenhagen, hari ini, sekali gus layak ke pusingan kalah mati 2020, pada ketika pemain dan penyokong di Stadium Parken menunjukkan sokongan kepada Christian Eriksen.

Yussuf Poulsen memberikan harapan kepada tuan rumah menerusi gol pada minit kedua, tetapi De Bruyne masuk pada separuh masa kedua yang juga penampilan pertamanya di kejohanan ini akibat kecederaan.

Pemain tengah Manchester City itu melorongkan bola untuk Thorgan Hazard menjaringkan gol penyamaan sebelum dia merembat tepat dengan kaki kiri untuk gol kedua Belgium.

Perlawanan itu dihentikan selama seminit pada minit ke-10 sebagai penghormatan kepada Eriksen, yang mengalami jantung terhenti pada perlawanan antara Denmark dan Finland pada Sabtu lalu.

Pemain Inter Milan berusia 29 tahun itu kini sedang dirawat di hospital berhampiran dan menggunakan alat bantuan jantung.

Pemain Denmark menunjukkan dengan jelas mereka tidak trauma dengan insiden Eriksen rebah di padang atau takut berdepan pasukan nombor satu dunia.

Seawal minit pertama, Pierre-Emile Hojbjerg memintas kesilapan hantaran Jason Denayer dan menolak kepada Poulsen yang membawa bola ke dalam kotak penalti sebelum merembat melepasi Thibaut Courtois.

Jaringan selepas satu minit dan 39 saat itu adalah gol kedua terpantas dalam sejarah Kejuaraan Eropah, di belakang gol Dmitri Kirichenko selepas 67 saat perlawanan ketika Russia menewaskan Greece yang muncul juara pada 2004.

Belgium bermula dengan De Bruyne, Eden Hazard dan Axel Witsel di bangku simpanan, tetapi Roberto Martinez pantas memasukkan mereka selepas rehat dan seterusnya mengubah persembahan pasukan.

Rakan sepasukan Eriksen di Inter Milan, Romelu Lukaku memecut ke dalam kotak penalti pada minit ke-55 sebelum menolak bola kepada De Bruyne yang kemudian mengumpan kepada Thorgan Hazard untuk gol penyamaan.

Lukaku, yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Russia 3-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, turut menyumbang untuk gol kedua pasukannya.

Dia memulakan siri satu sentuhan dengan adik beradik Hazard sebelum mengumpan kepada de Bruyne yang merembat dengan kaki kiri untuk gol kedua Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 2:09 AM