Pemain MUFC menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Jasin. FOTO Ihsan MUFC
Pemain MUFC menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Jasin. FOTO Ihsan MUFC
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pengurusan skuad Melaka United FC (MUFC) gembira pemain dan pegawai skuad berkenaan selesai menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Jasin semalam.

Pengurus pasukan MUFC, Muhammad Akram Abdullah berkata, pihaknya bersyukur kerana diberikan vaksin termasuk dos kedua selepas ini menjelang saingan liga terbabit bermula Julai depan.

Katanya, imunisasi terbabit sangat penting kerana mereka terdedah kepada pelbagai aktiviti dan perlawanan sekali gus dapat menjamin kesihatan serta keselamatan pemain.

Menurutnya, ianya juga meningkatkan keyakinan mereka untuk mengharungi saingan getir Liga Malaysia yang dijangka lebih mencabar selepas ini.

Malah apa yang lebih penting pemain juga bakal melalui latihan dan perlawanan dengan lebih tenang dan selamat selepas imunisasi termasuk berhadapan dengan pelbagai situasi kehidupan harian.

"Pastinya saya menyambut baik atas usaha pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana memberi kebenaran kepada pegawai dan pemain di vaksin.

"Ianya berikutan mereka perlu menghabiskan keseluruhan baki perlawanan untuk tahun ini dan secara tidak langsung memberi keyakinan kepada mereka berkaitan tahap kesihatan daripada serangan pandemik Covid- 19," katanya.

Dalam masa sama dia juga meminta seluruh penyokong pasukan terbabit sentiasa menjaga kesihatan dan segera mendaftarkan sebagai penerima vaksin.

Akram berkata, pihaknya juga sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan konsisten bagi mengekang penularan wabak itu kerana ianya penting untuk keselamatan semua pihak.

MUFC antara pasukan Liga Malaysia yang mula menerima vaksin termasuk Negeri Sembilan, Sabah dan Perak.

Skuad berkenaan bakal menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, pada 25 Julai yang dilihat ujian getir buat pasukan untuk meraih tiga mata berharga.

Beliau berkata, apapun dengan motivasi tinggi pemain serta perancangan jurulatih dia amat mengharapkan keputusan positif bakal diperoleh kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 3:12 PM