GIOVANE (kanan) dan Adriano (kiri) bakal serlah keyakinan MU. FOTO Ihsan MUFC
GIOVANE (kanan) dan Adriano (kiri) bakal serlah keyakinan MU. FOTO Ihsan MUFC
Nazri Abu Bakar

Melaka: Sentuhan dua import baharu Melaka United MUFC dari Brazil, Giovane Gomes da Silva dan Adriano Aparecido Narcizo bakal membantu kecemerlangan pasukan itu pada baki perlawanan liga musim ini.

Pengurus pasukan MUFC, Muhammad Akram Abdullah berkata, kehadiran import baru sememangnya amat dinantikan selepas skuad terbabit kini berada dalam zon penyingkiran.

Katanya, tiada apa yang diharapkan selain mereka mampu menjadi peledak berbisa untuk membolehkan pasukan memperbaiki mata dan memastikan skuad kekal di Liga Super 2022.

Menurutnya, kedua-dua penyerang terbabit yang menggantikan tempat Alex dos Santos Goncalvez dan Stefan Nikolic yang digugurkan bakal menjalani latihan bersama pasukan sejurus mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dalam pada itu skuad terbabit merangka program latihan berpusat secara kuarantin menggunakan model gelembung sukan sepanjang PKP 3.0 selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang diperketatkan bermula 25 Mei .

"Kami terpaksa mengubah pendekatan membabitkan sesi latihan pasukan berikutan sesi latihan secara terbuka tidak dibenarkan buat masa ini, justeru pemain hanya menjalani latihan sendiri yang memfokuskan kepada aspek kecergasan.

"Sehubungan itu, pihak kami bersama staf kejurulatihan sedang merangka program latihan berpusat secara kuarantin menggunakan model gelembung sukan camp based training bagi mempersiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua Liga Super yang dijadualkan disambung pada awal Julai depan," katanya.

Akram berkata, buat masa ini pemain hanya menjalani rutin latihan di rumah dengan mengikuti program latihan yang ditetapkan oleh barisan kejurulatihan yang lebih tertumpu kepada aspek kecergasan.

Dalam masa sama pihaknya juga mengharapkan latihan secara Camp Based Training dengan operasi prosedur standard (SOP) yang ketat berjaya dilaksanakan dalam memastikan sasaran pasukan untuk memperbaiki kedudukan berjaya direalisasikan.

Beliau berkata, situasi terbabit juga penting bagi memastikan persiapan pasukan menjelang sambungan saingan liga tidak terjejas selain mendorong persediaan pasukan lebih mantap sebelum kembali dalam saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 11:51 AM