SESI latihan MUFC di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO Ihsan MUFC
SESI latihan MUFC di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO Ihsan MUFC
Nazri Abu Bakar

Melaka: Semangat kekeluargaan pasukan Melaka United FC (MUFC) dalam kem latihan berpusat selama dua minggu sejak minggu lalu memberi impak terhadap keserasian pasukan di dalam dan luar padang.

Pengurus Pasukan MUFC, Muhammad Akram Abdullah berkata, konsep latihan sedemikian jelas meningkatkan persefahaman pemain sebagai satu pasukan kerana mereka turut tinggal bersama seperti sebuah keluarga.

Menurutnya, ia penting berikutan penyertaan beberapa pemain baharu dalam pasukan untuk menyerap persefahaman pantas dalam usaha memantapkan persembahan menjelang aksi berdepan Sri Pahang pada pada 25 Julai depan.

Katanya, latihan berpusat pada minggu pertama yang dikendalikan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan menekankan kepada semua aspek permainan berpasukan bagi mencari keserasian dan kesefahaman pemain dan ia terus dipertingkat sehingga sesi berakhir.

"Justeru, kem latihan berpusat ketika ini dilihat peluang untuk meningkatkan persefahaman pemain dalam aspek bertahan, mengatur serangan dan meledak jaringan bagi memenuhi misi penting pasukan memperbaiki kedudukan dan kekal di Liga Super.

"Sehubungan itu, saya yakin keakraban serta persefahaman ini dapat diteruskan di atas padang pada perlawanan sebenar selepas sekadar mengumpul 11 mata daripada 13 perlawanan setakat ini," katanya.

Sementara itu, dua penyerang import MUFC, Giovane Gomes dan Adriano Narcizo juga jelas semakin menyesuaikan diri walaupun baharu sahaja menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua, hujung bulan lalu.

Akram berkata, prestasi yang dipamerkan kedua-dua pemain kelahiran Brazil itu juga kian memberangsangkan, selain mengharapkan gandingan mereka di barisan depan bakal menyerlah keupayaan skuad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 5:15 PM