PEMAIN Melaka United FC cuba menghalang kemaraan pemain Kedah Darul Aman FC, Wanja Ronald Ngah (tengah) ketika beraksi dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat dekat Krubong, 9 September lalu. FOTO Bernama
PEMAIN Melaka United FC cuba menghalang kemaraan pemain Kedah Darul Aman FC, Wanja Ronald Ngah (tengah) ketika beraksi dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat dekat Krubong, 9 September lalu. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC) membuat kenyataan terbuka sebaik skuad terbabit disahkan disingkir daripada saingan Piala Malaysia susulan kegagalan skuad terbabit gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

MUFC dalam kenyataannya menjelaskan pihaknya mengambil maklum pembatalan slot Piala Malaysia 2022 oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berikutan isu pembayaran gaji yang tertunggak.

"Untuk pengetahuan, kelab masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dan percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak berkepentingan bersama-sama membantu dalam memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang akhirnya menjamin kelestarian kelab.

"Proses penstrukturan saham dan mendapatkan dana dari pihak berkepentingan yang masih belum selesai ini juga menyebabkan pihak pengurusan kelab membuat keputusan supaya perkara ini dapat diselesaikan terlebih dahulu dan keutamaan diberikan untuk MUFC kekal berada di Liga Malaysia tahun hadapan.

"Kelab dengan ini memohon maaf kepada semua pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij bola sepak negara iaitu Piala Malaysia musim ini serta para penyokong dan peminat yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan mengambil iktibar daripada isu terbabit dan akan terus memandang ke hadapan bagi memastikan MUFC memperoleh lesen bagi menyertai Liga Malaysia 2023.

Keputusan penyingkiran MU dibuat Ahli Lembaga MFL selepas pasukan Liga Super itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji mengikut tarikh ditetapkan.

Dalam satu kenyataan MFL, menyatakan MU sudah pun menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terbabit sehingga 20 September ini.

Bagaimanapun pada hari ini, MU hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:26 PM