ABANG Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar (kiri) menerima penghargaan daripada MUFC. FOTO MUFC
ABANG Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar (kiri) menerima penghargaan daripada MUFC. FOTO MUFC
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kelab Bolasepak Melaka United FC (MUFC) menyumbang Pas Bermusim 2022 `VIP' bernilai RM1,500 serta barangan eksklusif kepada ikon sukarelawan, 'Abang Viva' atau nama sebenarnya Azwan Omar sebagai penghargaan kepada jasanya kepada komuniti di Malaysia.

MUFC dalam kenyataannya menjelaskan, usaha berkenaan membolehkan beliau menjadi antara penyokong VIP pada setiap perlawanan liga Malaysia skuad Hang Tuah di venue tuan rumah di Stadium Hang Jebat sepanjang musim ini.

"Kami di MUFC berbesar hati apabila perlawanan Piala FA Malaysia 2022 membabitkan Melaka United (MU) dan PJ City FC di Stadium Hang Jebat turut dihadiri ikon sukarelawan, 'Abang Viva' atau nama sebenarnya Azwan Omar yang sudi meluangkan masa memenuhi jemputan kami.

"Jemputan terbabit sebagai tanda penghargaan di atas kerja-kerja kesukarelawanan dalam membantu mereka yang memerlukan khususnya ketika bencana banjir melanda negara tahun lalu,"katanya.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah MUFC, Muhammad Hiqmar Danial Hidzir.

Sementara itu, Azwan amat menghargai sumbangan MUFC kepadanya sambil menaruh keyakinan skuad berkenaan mampu melangkah lebih jauh di pentas Piala FA dan liga Super.

Menurutnya, dia sememangnya meminati sukan bola sepak dan akan memberi sokongan padu kepada pasukan berkenaan tambahan selepas mendapat tiket percuma terbabit.

"Seingat saya hanya menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan Melaka sebanyak tiga kali sebelum ini dengan satu aksi di Stadium Hang Jebat.

"Selepas melihat kejayaan skuad Hang Tuah menewaskan PJ City 2-1 pada pusingan kedua Piala FA, saya yakin pasukan Hijau Putih mampu untuk bergelar juara jika aksi terus konsisten," katanya.

Kisah Azwan tular di media sosial apabila sanggup datang ke Selangor dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir pada Disember lalu dengan hanya berbekalkan wang RM50 bagi mengisi minyak kereta dan membeli makanan.

Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka turut mengucapkan tahniah dan memberi penghormatan kepada wira terbabit dalam usaha murninya itu pada pembentangan Bajet Melaka 2022 pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

"Kita tersentuh hati dengan 'Abang Viva' yang menjadi tular apabila dia yang bekerja sebagai operator mesin mengambil cuti untuk meredah banjir menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam dengan berbekalkan RM50.

"Kita ucapkan tahniah dan penghormatan kepada 'hero' orang Melaka ini," kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:25 PM