SHAM berkata pengundurannya daripada jawatan itu adalah selepas selesai isu tunggakan gaji. FOTO NSTP
SHAM berkata pengundurannya daripada jawatan itu adalah selepas selesai isu tunggakan gaji. FOTO NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali meletakkan jawatan bagi kelab bola sepak itu, kini tiba giliran Bendaharinya, Datuk Sham Mat Sahat yang mengakui bakal mengikuti jejak itu.

Perkara itu disahkan Sham sendiri sewaktu dihubungi NSTP melalui WhatsApp sebentar tadi.

Beliau berkata, pengundurannya daripada jawatan itu adalah selepas selesai isu tunggakan gaji, tanpa menyatakan secara terperinci bilakah tarikh peletakan jawatannya itu nanti.

Ditanya mengenai tunggakan gaji pemain untuk bulan April yang sudah dibayar hari ini sebagaimana kenyataan Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed, beliau seterusnya mengakui pengundurannya adalah dalam waktu terdekat.

Ia berikutan bulan Mei masih belum menjangkau fasa pertengahan bulan, yang sekali gus bermakna tidak timbul lagi isu gaji tertunggak setakat sekarang.

"Ya, selesai tunggakan gaji saya berundur. Ya (gaji untuk bulan Mei belum cukup bulan)," katanya ringkas sebagai membalas pesanan melalui WhatsApp.

Terdahulu, rata-rata penyokong pasukan The Bos Gaurus menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan Sham pada Sabtu lalu yang menyarankan pemain mesti mempunyai 'jiwa' untuk terus bersama pasukan walaupun dibelenggu masalah tunggakan gaji.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menghuraikan isu mengenai pengurusan kelab terbabit yang tidak akan menghalang sekiranya ada pemain mahu meninggalkan kelab lalu beraksi bersama pasukan lain di masa mendatang.

Malah tangkap layar pesanan balas di Facebook Messenger turut tular memaparkan seseorang yang menggunakan akaun Facebook milik Sham, menegaskan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak itu akan meletak jawatan sebagai Bendahari kelab terbabit susulan gesaan peminat Perak FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 10:51 PM