Pemain Sabah FC menjalani latihan menjelang aksi Liga Super.
Pemain Sabah FC menjalani latihan menjelang aksi Liga Super.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto berkata, pasukan itu perlu meraih kemenangan apabila melayan kunjungan UiTM FC di Stadium Likas, Sabtu ini, bagi mengelak mereka jauh ke zon penyingkiran.

Katanya, pemain tidak mempunyai alasan untuk tidak mencatat kemenangan lebih-lebih lagi mereka bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri.

''Tiada alasan lagi, mereka perlu fokus untuk mencatat kemenangan seterusnya mengukuhkan kedudukan kita dalam Liga Super.

''Pemain juga perlu mengekalkan rentak persembahan sedia ada untuk menjamin Sabah FC mengutip tiga mata di gelanggang sendiri,'' katanya.

Bekas penyerang Indonesia itu berkata, dia bersama barisan jurulatih dan pemain sudah menganalisa beberapa perlawanan membabitkan UiTM FC dan berpendapat pasukan itu bukan senang untuk dikalahkan.

''Dalam perlawanan nanti, kita jangkakan UiTM akan bermain dengan lebih bertahan dan kita perlu merancang bagaimana untuk memecahkan benteng mereka sekali gus mencari gol kemenangan.

''Tidak mustahil Sabah FC boleh mencipta kemenangan sekiranya semua pemain meletakkan kemenangan sebagai sasaran utama dalam perlawanan ini,'' katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tiada seorang pun pemain diberi jaminan untuk beraksi sebagai kesebelasan utama kerana setiap pemain perlu menunjukkan kemampuan mereka dalam setiap sesi latihan.

Katanya, beliau masih mempunyai masa untuk memilih kesebelasan utamanya dan menegaskan pemilihan itu adalah berdasarkan perancangan mereka untuk perlawanan bertemu UiTM FC.

''Semua pemain mengikuti latihan termasuk mereka (Rawilson Batuil, Mohd Azzizan Nordin dan Maffry Balang) dan mereka memberikan komitmen 100 peratus, kita akan lihat siapa yang akan beraksi sebagai kesebelasan utama nanti,'' katanya.

Sebelum ini Rawilson, Azzizan dan Maffry tidak tersenarai ketika Sabah FC mencatat seri 1-1 dengan Penang FC di Pulau Pinang, Ahad lalu.

Rawilson dan Azzizan dikatakan tidak dibawa bersama kerana ada kaitan dengan isu gaji tertunggak pemain yang viral di media sosial, minggu lalu, manakala Maffry dilaporkan mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 9:03 PM