PEMAIN Sabah sedia tewaskan MISC-MIFA di laman sendiri. FOTO Malai Rosmah Tuah
PEMAIN Sabah sedia tewaskan MISC-MIFA di laman sendiri. FOTO Malai Rosmah Tuah
Ryan Stanley


SABAH tidak memandang mudah cabaran MISC-MIFA walaupun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila kedua-duanya bertemu dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Pengendalinya, Jelius Ating berkata, pasukan lawan itu menunjukkan peningkatan mendadak sejak beberapa perlawanan lalu malah kini menghuni kedudukan kedua liga.

"Memang kita akui prestasi MISC-MIFA semakin baik sejak beberapa perlawanan lalu dan ia mungkin disebabkan pertukaran beberapa pemain oleh jurulatihnya ketika jendela perpindahan pemain dibuka, bulan lalu.

"Bagaimanapun, kami tetap bertekad untuk menewaskan mereka, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri dan kemenangan pada malam esok juga penting bagi memastikan kami terus berada di landasan betul untuk merebut tempat ke Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelius berkata, persiapan pasukannya bagi menghadapi perlawanan itu berjalan lancar walaupun dia memberikan anak buahnya cuti selama tiga hari sempena hari raya.

"Kami hanya kembali berlatih pada Ahad lalu, dan saya harap pemain akan lebih bersemangat untuk menghadapi perlawanan itu nanti," katanya.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 47 tahun itu berkata pasukannya akan beraksi tanpa tiga tonggak iaitu Maffry Balang, Jenius Karib dan Maxsius Musa.

"Kita terpaksa ketepikan Maffry dan Jenius yang masih belum pulih dari kecederaan dan kita juga kehilangan Maxsius yang terpaksa menjalani penggantungan perlawanan.

"Bagaimanapun, kita memiliki beberapa pemain simpanan untuk menggantikan tempat mereka kecuali Justin Saaman yang turut masih cedera," katanya.

Jelius dijangka akan menurunkan Rozaimie Rohim selaku benteng terakhir pasukan malam esok dengan dibantu empat pertahanan iaitu ketua pasukan, Rawilson Batul, Francis Kasonde, Randy Baruh, serta Dendy Lowa.

Pemain import dari Jepun, Keisuke Ogawa pula dijangka akan mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Sabri Sahar, Mohd Azzizan Nordin, serta sama ada Ummareng Bacok, Rahman Shah Marajeh atau Hamran Peter.

Di bahagian serangan pula, dua penyerang import iaitu Hector Omar Ramos dan Rodoljub Paunovic sekali lagi dijangka menggalas tugas sebagai pemburu jaringan bagi Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 8:10 PM