ATING (tengah) mahu anak buah kekal momentum.
ATING (tengah) mahu anak buah kekal momentum.
Ryan Stanley


PENGENDALI Sabah, Jelius Ating tidak memandang mudah cabaran FELCRA FC, sebaliknya mahu pemainnya lebih berhati-hati apabila berdepan aksi kedua Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam esok.

Beliau berkata, status FELCRA FC sebagai pendatang baharu Liga Perdana bukanlah satu ukuran malah ia boleh menjadi ancaman kepada mereka.

“Bagi saya siapa pun yang kita hadapi, kita perlu berhati-hati terutama FELCRA FC yang pertama kali beraksi dalam liga ini.

“Apa yang saya mahu ialah pemain terus konsisten serta tidak kerap melakukan kesilapan mudah sehingga membawa padah kepada kita,” katanya ketika dihubungi.

Jelius berkata, pasukannya itu perlu mengekalkan momentum persembahan baik mereka sebelum ini, seterusnya membawa balik mata penuh dari Shah Alam.

“Apa yang penting ialah kemenangan, tidak kisahlah berapa gol pun, kalau kita dapat gol yang banyak seperti sebelum ini, ia satu bonus tetapi jika kita menang tipis 1-0 pun sudah cukup baik buat kami,” katanya.

Selepas meratah Terengganu FC (TFC) II 4-0 pada aksi pertama di Stadium Likas, Jumaat lalu, Jelius berkata dia akan mengekalkan kesebelasan utamanya bagi menghadapi FELCRA FC.

“Tiada sebab untuk saya melakukan perubahan pada kesebelasan utama, kecuali jika berlaku sesuatu masalah sehingga terpaksa melakukan perubahan di saat akhir.

“Walaupun mengekalkan kesebelasan utama, saya ingin menegaskan kepada mereka supaya bermain dengan baik atau diganti dengan pemain lain, saya mahu bersikap adil kepada semua pemain, hanya yang terbaik akan beraksi,” katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan iaitu Rawilson Batuil, Maffry Balang, Randy Baruh dan Jenius Karib.

Pemain dari Korea Selatan, Heo Jaenyong pula akan mengemudi bahagian tengah bersama Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar serta Maxsius Musa manakala Lee Gil Hoon dan Hector Pito Ramos yang masing-masing meledak gol pada aksi lalu kekal sebagai pemburu jaringan bagi Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 1:28 PM