RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Faliq Lajim


RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak berdiam diri dalam menghadapi perubahan dunia dan juga negara.

Melalui satu kenyataan yang dimuat naik melalui akaun rasmi Instagram hari ini, Tengku Amir Shah berkata, FAS perlu bertindak segera membuat perubahan drastik selain fokus harus diberikan untuk memastikan persatuan itu dan pasukan Selangor untuk terus mara.

Tengku Amir Shah berkata, beliau percaya inilah masa yang paling sesuai untuk semua pihak bersatu untuk membina kembali FAS. 

Menurutnya, beliau bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga pernah menyampaikan pendapat berkaitan dengan FAS pada Februari 2017.

"Bagaimanapun, langkah-langkah penambahbaikan tidak dilihat sama sekali. Saya menegaskan bahawa perubahan menyeluruh perlu dilakukan demi kebaikan jangka masa panjang FAS, di mana proses perubahan ini pasti akan mendapat tentangan dan mungkin dihalang oleh sesetengah pihak.

"Namun, saya ingin menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba atau pun mencari kesalahan silam.

"Sememangnya hal ini akan mengambil masa, akan tetapi dengan pasukan yang sesuai dan sokongan padu yang diterima terutamanya daripada penyokong, saya tidak meragukan pasukan kesayangan rakyat negeri Selangor ini dapat mencapai kegemilangan seperti dahulu kala," katanya.

Pada masa sama, Tengku Amir Shah berkata, beliau juga bersedia menerima tanggungjawab menyandang jawatan sebagai Presiden FAS dan menjadi wakil kepada rakyat Selangor untuk membawa lebih kejayaan dan menambah kepada kekayaan sejarah pasukan Selangor.

"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sekiranya semua stakeholder (pihak berkepentingan) terutamanya penyokong Gergasi Merah Kuning bersedia untuk bersama saya melalui onak dan duri perjalanan, saya sedia untuk berkhidmat demi cinta terhadap Selangor dan rakyatnya. 

"Saya teruja dan bersemangat untuk memulakan perjalanan ini bersama semua," kata Tengku Amir Shah.

Menurutnya, beliau sentiasa mengikuti perkembangan berkaitan FAS sama ada di atas atau di luar padang.

"Dikaitkan sekali lagi untuk menyandang jawatan presiden persatuan ini adalah satu penghormatan dan saya sangat teruja dengan kemungkinan tersebut.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, saya banyak memberi fokus terhadap pembangunan bola sepak akar umbi dan liga-liga sosial di sekitar Selangor menerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan, Komuniti Belia Selangor.

"Melaluinya, saya melihat sendiri potensi yang dimiliki Selangor," kata Tengku Amir Shah. 

Tambahan pula dengan semangat yang jelas kelihatan, Tengku Amir Shah percaya tidak mustahil bagi Selangor untuk mengembalikan semula kegemilangan sebagai gergasi bola sepak tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 5:15 PM