ARTETA (kiri) puas dengan kebangkitan segera dipamerkan anak buahnya walaupun hujung minggu lalu dikecewakan dalam saingan Piala FA. FOTO EPA
ARTETA (kiri) puas dengan kebangkitan segera dipamerkan anak buahnya walaupun hujung minggu lalu dikecewakan dalam saingan Piala FA. FOTO EPA
AFP

Southampton: Mikel Arteta memuji pemain Arsenal kerana segera bangkit dari kekecewaan tersingkir di Piala FA selepas membalas dendam ke atas Southampton dengan mencatatkan kemenangan 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Arteta yang juga penyandang juara tersingkir di pusingan keempat Piala FA Sabtu lalu selepas kalah 0-1.

Bagaimanapun, Arsenal segera memperbetulkan kesilapan mereka dengan mencatat kemenangan meyakinkan.

Arteta percaya semua perkara itu berlaku di atas kekuatan mental yang dimiliki oleh pemainnya termasuk bangkit semula dalam saingan EPL.

"Memenangi perlawanan bola sepak mampu untuk meningkatkan keyakinan. Kami sudah melakukan perkara yang betul cuma hilang rentak permainan. Ia menunjukkan pemain kami masih mempunyai kepintaran dan ketahanan.

"Kami melepaskan gol berpunca dari sepakan penjuru namun segera memberi tindak balas. Kami sangat bagus mengawal bola. Kami berjaya menyelesaikan masalah dan mencipta peluang.

"Tekanan terhadap pihak lawan sangat baik. Ia adalah aksi meyakinkan. Masih banyak lagi perkara perlu dilakukan. Kami perlu mempertingkatkan prestasi dan sentiasa merendah diri," kata Arteta.

Selepas dikecewakan dengan gol awal melalui Stuart Amrstrong pada awal saingan, Arsenal bangkit mendahului perlawanan melalui jaringan Nicolas Pepe dan Bukayo Saka pada separuh masa pertama.

Alexandre Lacazette meledak gol pada separuh masa kedua bagi membolehkan Arsenal bangkit dari ketinggalan dan mencatat kemenangan liga di tempat lawan buat kali pertama sejak Arteta mengambil alih pada Disember 2019.

Arsenal melonjak ke tangga kelapan selepas mencatat kemenangan kelima daripada enam perlawanan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 10:33 AM