ARTETA (kanan) dan anak buahnya berjalan sugul meninggalkan padang selepas kalah kepada Everton awal pagi tadi. FOTO AFP
ARTETA (kanan) dan anak buahnya berjalan sugul meninggalkan padang selepas kalah kepada Everton awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Jurulatih Arsenal Mikel Arteta mengakui anak buahnya 'menderita' selepas tewas buat kali kelapan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di tangan Everton.

Pasukan bimbingan Carlo Ancelotti kini hanya lima mata di belakang pendahulu Liverpool selepas menewaskan Arsenal 2-1 di Goodison Park, manakala The Gunners kekal di tangga ke-15.

Arsenal hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga terakhir mereka, memberi tekanan ke atas Arteta hanya empat bulan selepas meraih Piala FA.

Selepas kad merah mencemari dua perlawanan Arsenal sebelum ini, kali ini gol sendiri Rob Holding membayangi kekalahan mereka.

Penalti Nicola Pepe berjaya mengikat semula kedudukan, tetapi tandukan Yerry Mina sebelum rehat memastikan kemenangan ketiga berturut-turut buat Everton.

"Kami bertindak balas dengan baik. Kami menguasai permainan. Kami mencipta banyak peluang untuk sekurang-kurangnya tidak tewas.

"Percubaan kami mengenai tiang, kami tidak bernasib baik. Pemain-pemain masih berjuang, mereka terluka sekarang," kata Arteta.

Arsenal menerima berita kurang baik sebelum sepak mula, apabila tidak dapat menurunkan ketua pasukan Pierre-Emerick Aubameyang yang mengalami kecederaan betis.

Aubameyang baru saja mendapat sentuhan jaringannya (bukan penalti) selepas kali terakhir pada September ketika mereka seri 1-1 di laman sendiri bertemu Southampton Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 11:20 AM