Penyerang Manchester United, Marcus Rashford (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Penyerang Manchester United, Marcus Rashford (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Marcus Rashford berkata bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho membantunya menjadi penyerang yang lebih 'bijak' dalam hal mendapatkan penalti.

Susulan kekalahan 1-0 penyandang juara Liga Perdana, Liverpool ke atas Southampton awal bulan ini, dalam perlawanan di mana Sadio Mane dinafikan penalti, pengurus skuad Reds, Jurgen Klopp berkata United diberikan "lebih banyak penalti dalam dua tahun berbanding tempoh lima setengah tahun saya" di Anfield.

Namun Rashford, ketika temubual selepas dia menerima Anugerah Tribute 2021 Persatuan Penulis Bolasepak berkata, sebab utama United diberikan lebih penalti ialah pendekatan menyerang mereka berbanding sikap pilih kasih sebahagian pegawai perlawanan.

"Sebagai penyerang, kami mahu terus menyerang dan menjaringkan gol," kata Rashford.

"Apabila anda berlari atau menggelecek bola dan apabila anda melihat cabaran, anda tidak mahu dikasari kerana anda melihat peluang untuk menjaringkan gol.

"Tiada sebab untuk anda membenarkan pemain lain mengambil bola daripada anda, jadi bagi saya ia hanya kerana kami mahu menjaringkan lebih banyak gol dan pasukan lawan cuba mempertahannya malah anda tahu, penalti boleh terjadi."

Pemain kebangsaan England itu menambah bahawa perbualannya dengan Mourinho, yang kini mengendalikan Tottenham Hotspur, membantunya mengubah pendekatan.

"Namun ada ketikanya kami tidak mendapat penalti," katanya.

"Saya masih ingat ketika Jose menjadi pengurus, ada lima atau enam kali saya sepatutnya mendapat penalti.

"Jose akhirnya berkata kepada saya: 'jika awak tidak bijak dalam cara melakukannya, awak tidak akan mendapatnya.' Selepas itu, kami mula mendapat beberapa penalti."

United kini berada di puncak carta Liga Perdana, tiga mata di depan Liverpool menjelang pertembungan musuh tradisi itu tengah malam Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 10:14 AM