LAMPARD gagal membantu Chelsea meraih tiga mata ketika berdepan Villa. FOTO AFP
LAMPARD gagal membantu Chelsea meraih tiga mata ketika berdepan Villa. FOTO AFP
AFP

London: Chelsea gagal untuk meredakan tekanan yang semakin meningkat buat Frank Lampard selepas Aston Villa bangkit dari ketinggalan untuk mengikat kedudukan 1-1 di Stamford Bridge.

Anak buah Lampard sekarang hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir liga untuk berada enam mata di belakang pendahulu, Liverpool di tempat keenam dan kurang satu perlawanan daripada penyandang juara itu.

Chelsea juga berada di belakang Villa yang dipisahkan dengan perbezaan jaringan tatkala pasukan bimbingan Dean Smith itu masih mempunyai dua baki perlawanan di dalam tangan dan pelawat sudah berasa lega selepas berjaya membawa pulang satu mata.

"Sekarang adalah masa yang sangat sukar dan anda harus menempuhinya. Tidak ada yang mengecewakan saya malam ini, semua bekerja, kami cuba hanya tidak bernasib baik," kata Lampard.

Lampard melakukan enam perubahan daripada skuad yang dikalahkan Arsenal 48 jam lalu.

Olivier Giroud adalah salah seorang pemain yang dibawa masuk dan pemain antarabangsa Perancis itu membuktikan kemampuannya selepas menanduk masuk hantaran silang Ben Chilwell bagi membuka jaringan.

Ia berbeza dengan Smith yang hanya melakukan satu perubahan daripada skuad yang beraksi 45 minit 10 pemain ketika mengalahkan Crystal Palace 3-0 Ahad lalu.

Bagaimanapun, Villa tidak menunjukkan sebarang keletihan pada separuh masa kedua dan menyamakan kedudukan apabila Anwar El Ghazi meledak gol kelimanya selepas menerima hantaran lintang Matty Cash.

"Saya tidak melihat pemain saya berasa letih. Saya sangat mempercayai jika seseorang pemain itu beraksi banyak kali tapi tetap hebat, anda harus mempercayai kemampuan mereka," kata Smith.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 9:09 AM