MARTINEZ menyelamatkan dua penalti untuk membawa Villa ke separuh akhir Liga Konferens Eropah. -FOTO AFP
MARTINEZ menyelamatkan dua penalti untuk membawa Villa ke separuh akhir Liga Konferens Eropah. -FOTO AFP
AFP

Paris: Emiliano Martinez beraksi cemerlang menyelamatkan penalti dalam perlawanan yang penuh drama untuk Aston Villa menewaskan Lille dan mara ke separuh akhir Liga Konferens Eropah awal pagi tadi selepas gol lewat perlawanan Matty Cash.

Villa mendahului 2-1 selepas suku akhir pertama minggu lalu tetapi usaha mereka untuk merebut trofi Eropah pertama sejak 1982 kelihatan musnah apabila gol daripada Yusuf Yazici dan Benjamin Andre meletakkan Lille mendahului dua gol dengan agregat 3-2 dalam perlawanan di utara Perancis.

Kesilapan pertahanan membolehkan Cash menyamakan kedudukan buat Villa ketika perlawanan berbaki tiga minit untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Martinez muncul wira dan menunjukkan kemahiran luar biasanya menyelamatkan dua kali sepakan penalti buat pasukan Unai Emery memenangi perlawanan 4-3.

"Ia adalah satu perjalanan yang mendebarkan sepanjang karier saya. Saya seorang yang percaya dan bekerja keras dan ia adalah takdir saya hari ini," kata Martinez.

"Saya selalu berkata sepanjang karier saya, saya berhutang dengan rakan sepasukan saya pada saat-saat itu, walaupun ketika kami menonton Real Madrid malam tadi pengurus berkata perlawanan diheret hingga penalti dan pada saat itu ia kotak penalti milik saya."

Penjaga gol Argentina itu menyelamatkan sepakan penalti dari Nabil Bentaleb dan Andre selepas diejek sepanjang perlawanan oleh penonton yang tidak melupakan tindakan biadapnya selepas kemenangan Piala Dunia 2022 ke atas Perancis.

Berlaku kekeliruan ketika penentuan penalti apabila Martinez dilayangkan kad kuning kedua permainan, namun tidak dibuang padang kerana mengikut undang-undang perlawanan, sebarang kad dikutip dalam masa permainan sebenar tidak dikira apabila memasuki penentuan penalti.

"Ia semua mengenai reputasi untuk membazirkan masa kerana semua penjaga gol melakukan perkara yang sama.

"Saya dilayangkan kad kuning selepas 30 minit (kerana melengahkan permainan) dan kami sedang ketinggalan. Saya tidak tahu apa yang pengadil mahu daripada saya.

"Kemudian tidak ada bola di titik penalti dan saya memintanya daripada budak bola, tetapi dilayangkan kad kuning. Saya tidak faham dengan peraturan ini," katanya.

Ini adalah penutup yang menarik apabila Lille memadam kelebihan Villa, memanfaatkan sepenuhnya kelebihan pada masa tambahan yang diberikan kepada mereka berbanding pasukan yang menewaskan Arsenal 2-0 Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:34 AM