Kane (kanan) meraikan jaringan bersama Alli serta rakan sepasukan. FOTO REUTERS
Kane (kanan) meraikan jaringan bersama Alli serta rakan sepasukan. FOTO REUTERS
Reuters

JARINGAN Harry Kane dan Dele Alli pada separuh masa kedua memastikan Tottenham Hotspur kendalian Jose Mourinho bangkit dari ketinggalan untuk menang 2-1 di tempat sendiri mengatasi Brighton & Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Kane menyudahkan percubaannya untuk menyamakan kedudukan pada m-53 untuk membatalkan jaringan pendahuluan menerusi tandukan Adam Webster pada babak pertama.

Alli menjaringkan gol kedua Spurs m-72 menolak masuk hantaran Serge Aurier yang melengkapkan gol gerakan pemain gantian Christian Eriksen.

Spurs sebelum ini tewas 0-2 kepada Chelsea di tempat sendiri.

Brighton yang menewaskan Spurs 3-0 pada Oktober lalu pada perlawanan terakhir di bawah bimbingan Mauricio Pochettino mendahului pasukan London itu selepas Webster yang tidak dikawal menanduk masuk sepakan percuma Pascal Gross pada m-37.

Mourinho tidak menurunkan pemain mahal kelab itu, Tanguy Ndombele tetapi membawa masuk Giovani Lo Celso dan Eriksen selepas gol penyamaan Kane.

Percaturan itu berbaloi apabila Eriksen mencuri masuk ke benteng pertahanan Brighton sebelum Aurier menghantar bola kepada Alli.

Kemenangan itu membolehkan Tottenham melonjak ke tangga kelima EPL dengan 29 mata selepas 19 perlawanan manakala Brighton di tangga ke-13 dengan 20.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 11:21 PM