Mourinho (tengah) memperkatakan sesuatu kepada Dele Alli selepas satu perlawanan membabitkan Tottenham sebelum ini. FOTO Agensi
Mourinho (tengah) memperkatakan sesuatu kepada Dele Alli selepas satu perlawanan membabitkan Tottenham sebelum ini. FOTO Agensi
AFP

London : Salah satu keutamaan Jose Mourinho apabila menjadi bos Tottenham adalah tingkatkan kembali prestasi 'Dele Alli yang sebenar' tetapi dia masih ternanti aksi terbaik daripada pemain tengah kelab itu.

Pemain kebangsaan England, yang kerap menjadi ancaman kepada barisan pertahanan lawan itu hanya beraksi 45 minit pada aksi bola sepak musim ini dan masa depannya di Spurs terus menjadi tanda tanya.

Alli digantikan pada separuh masa ketika kekalahan berdepan Everton dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris pasukan itu dan dia tidak menyertai pasukannya ke Bulgaria dalam kelayakan Liga Europa menentang Lokomotiv Plovdiv.

Dia tidak berada dalam senarai pasukan yang mencatat kemenangan 5-2 di Southampton semalam, sekalipun dipaksa menjalani latihan di kelab berpangkalan di utara London itu ketika Son Heung-min meledak empat gol dan Harry Kane menambah satu lagi gol.

Mourinho mengetepikan Alli berdasarkan kekuatan pasukan yang tidak seimbang. Pemain berusia 24 tahun itu berdepan saingan daripada Erik Lamela, Steven Bergwijn, Lucas Moura, Son, Giovani Lo Celso dan kini Gareth Bale bagi tempat utama dalam pasukan.

"Saya mahu pasukan yang seimbang, hanya itu sahaja yang saya mahukan," kata Mourinho apabila di tanya sama ada dia mahu Alli untuk kekal.

"Dia tidak perlu berkorban tetapi pasukan ini perlu sesuatu. Satu perkara yang boleh saya katakan, saya meninggalkan lapan pemain di belakang," tambahnya.

"Mereka kekal dan menjalani latihan pagi ini kerana mereka kumpulan yang besar dan Dele adalah antara pemain ini."

Alli dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menyaksikan Bale menyertai semula Tottenham dengan kontrak pinjaman.

Paris Saint-Germain dilaporkan berminat mendapatkan pemain tengah menyerang itu. Difahamkan Alli mahu kekal dan bersaing merebut tempat dalam pasukan tetapi kepulangan semula bintang Wales, Bale dan aksi meningkat dipamerkan Tanguy Ndombele ternyata saingan sukar buatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:18 PM