HON Jian dan Haikal kini berada di ranking ke-20 dunia.
HON Jian dan Haikal kini berada di ranking ke-20 dunia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui bangga melihat empat beregu lelaki negara di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Paling mencuri tumpuan legenda dari Indonesia itu adalah beregu muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian yang mempamer peningkatan ketara apabila kini menduduki ranking ke-20 dunia.

Selain Haikal-Hon Jian, tiga beregu berada dalam kelompok 20 terbaik dunia diketuai Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (13) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (16) manakala beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menduduki ranking ke-18 dunia.

"Ia memang satu perkembangan yang bagus, cuma saya harap Hon Jian-Haikal tidak mengulangi sikap bermain dalam situasi santai seperti ketika beraksi di separuh akhir Terbuka Australia.

"Sekarang kita sudah ada tiga beregu senior dan tiga beregu junior yang bagus dan sudah beraksi di saingan Super 500 iaitu Hon Jian-Haikal, Wan Arif (Junaidi)- (Yap) Roy King dan Aaron (Tai)-Kang (Khai Xin).

"Pencapaian semasa Haikal-Hon Jian memberi isyarat beregu lain juga harus ada rasa malu kerana beregu junior sudah boleh beraksi dengan baik terutama di saingan (Super) 500.

"Harap ia dapat meningkatkan semangat beregu lain juga. Kalau kita lihat sekarang, untuk setiap kejohanan Super 500, ada tiga beregu negara boleh beraksi," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara, hari ini.

Mengenai masa depan Hon Jian sama ada akan kekal beraksi dalam acara beregu atau beregu campuran seperti sebelum ini, Rexy berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.

"Nova mahu melihat sehingga hujung tahun ini acara mana yang lebih baik untuk Hon Jian sebelum membuat keputusan," katanya.

Sejak digandingan Julai tahun lalu, gandingan Haikal-Hon Jian sudah memenangi tiga kejohanan iaitu Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi, Masters Guwahati dan Masters Orleans.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:19 PM