HAIKAL dan Hon Jian berusaha pikat BAM.
HAIKAL dan Hon Jian berusaha pikat BAM.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bersedia sekiranya diberi tanggungjawab memperkuat skuad Piala Thomas di Chengdu, China, pada 28 April hingga 5 Mei hadapan.

Mereka ketika ini sedang berusaha untuk memikat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang masih belum mengumumkan senarai pemain akan mewakili negara pada kejohanan Piala Thomas/ Uber 2024 dan masih menunggu hingga ke saat akhir pendaftaran pemain pada 13 April ini.

Namun jika dikira berdasarkan ranking Haikal Nazri-Choong Hon Jian perlu bersaing dengan beregu kedua iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kini berada di kedudukan ke-19 dunia.

Justeru pasangan menghuni ke-28 dunia itu yang menjuarai Masters Orleans di Perancis, bulan lalu sedar perjalanan mereka masih panjang.

Justeru Haikal dan Hon Jian menegaskan banyak perlu dipertingkatkan terutama bagi mengatasi masalah konsistensi yang membelenggu mereka.

"Tahun ini kami sasar menembusi kelompok 20 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini. Tapi setiap pemain ada masa prestasi merosot, saya perlu bersedia terutamanya dari segi mencari kaedah untuk bangkit dari kejatuhan, lagi cepat lagi bagus.

"Kekalahan di Terbuka Switzerland (tewas di suku akhir) memberikan kami banyak pengajaran. Apa yang perlu dilakukan dan ditambah terutama dari segi mental.

"Kami juga tidak boleh memandang rendah lawan yang pernah kami tewaskan, kami sepatutnya melakukan persiapan berganda dan sentiasa bersedia kerana sudah tentu lawan mula membaca corak permainan kami," kata Haikal.

Pada final Masters Orleans, Muhammad Haikal-Hon Jian mengatasi Sabar Karyaman-Moh Reza 21-15, 18-21, 21-14. Namun pada minggu seterusnya di Terbuka Switzerland mereka tersungkur di suku akhir di tangan lawan yang sama, apabila tewas 16-21, 20-22.

Sejak digandingkan Julai tahun lalu, Muhammad Haikal-Hon Jian sudah meraih tiga kejuaraan iaitu kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India , Masters Guwahati India dan juga Masters Orleans.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 3:00 PM