HON JIAN-HAIKAL NAZRI juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi tewaskan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun. -FOTO BAM
HON JIAN-HAIKAL NAZRI juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi tewaskan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun. -FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Meraih semula keyakinan terutama di set kedua menjadi kunci utama buat pasangan muda negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri berjaya melakar kejutan dengan muncul juara Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di India semalam.

Hon Jian-Haikal mengejutkan pilihan utama dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-18, 21-16 dalam aksi yang berlangsung di di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das, Lucknow.

Menurut Hon Jian, mereka pada mulanya diselubungi perasaan takut apabila berdepan dengan pasangan nombor 16 dunia itu tatkala mereka hanya menduduki tangga ke-93.

"Kita beraksi dengan perasaan takut (di set pertama). Bagaimanapun, pada set kedua kami hanya bermain tanpa memikirkan apa-apa. Ternyata ia menjadi dan kami berjaya meraih kemenangan," kata Hon Jian.

Pada Sabtu, Haikal-Hon Jian berjaya menyingkirkan pilihan kedua dari England, Ben Lane-Sean Vendy di peringkat separuh akhir kejohanan Super Jelajah Dunia BWF 300 itu.

Sementara itu, Haikal mengakui dia berasa gugup ketika beraksi di set pertama dan seakan tidak berani untuk melakukan sesuatu sehinggalah semuanya berubah apabila aksi bersambung di set kedua.

"Sebaik bersambung semula set kedua kami mengubah kembali dengan mendapat keyakinan termasuk bantuan jurulatih di belakang gelanggang. Keyakinan yang hadir itu membuatkan segala pukulan menjadi.

"Bermula dari situ kami berjaya melakukan kebangkitan dan Alhamdulillah dapat meraih trofi sulung sejak digandingkan (Ogos lalu). Ia membuatkan kami bertambah semangat untuk mengharungi kejohanan seterusnya. Ini adalah permulaan untuk meraih lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang," kata Haikal.

Pencapaian terbaik mereka sebelum ini ialah muncul naib juara di Masters Indonesia di mana pada final mereka tumpas dengan satu lagi pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 16-21, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 3:02 PM