BIN Shen mahu Hon Jian-Haikal kekalkan momentum.
BIN Shen mahu Hon Jian-Haikal kekalkan momentum.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen mahu anak buahnya, Choong Hon Jian-Haikal Nazri turun ke gelanggang dan keluarkan semua yang dirancang dalam latihan menjelang pusingan pertama Masters Indonesia esok.

Menurutnya, gandingan nombor 51 dunia itu sudah tentu berdepan ujian getir ketika kali pertama beraksi di kejohanan bertaraf Super 500.

"Ini kejohanan pertama Super 500 mereka yang sebelum ini bermain di Super 300, bagi saya ini ujian pertama untuk mereka sebelum melangkah ke kejohanan lebih besar selepas ini," kata Bin Shen di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Ujarnya, beliau mahu Hon Jian-Haikal pamerkan prestasi seperti ditunjukkan dalam latihan selepas menunjukkan peningkatan sejak memenangi Cabaran Antarabangsa India dan Masters India hujung musim lalu.

"Biar mereka main dahulu, di sana saya pasti kita boleh nampak kemampuan mereka," katanya yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai kemampuan gandingan itu dan mahu menjadikan pencapaian di Indonesia sebagai penanda aras baharu.

Mengikut undian awal, Hon Jian-Haikal perlu melalui pusingan kelayakan, namun selepas pilihan utama yang juga pemain ranking kedua dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India menarik diri mereka terus ke saingan utama.

Hon Jian-Haikal diletakkan sebagai pengganti tempat Satwiksairaj-Chirag dan akan membuka saingan di pusingan pertama menentang pemain yang layak menerusi pusingan kelayakan.

Jika melepasi pusingan pertama, mereka akan berdepan sama ada gandingan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei (37 dunia) atau pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (38) di pusingan kedua, dan peluang ke suku akhir tetap ada kerana mereka belum pernah bertemu kedua-duanya di pentas antarabangsa.

Sementara itu, hasrat perseorangan wanita, K Letshanaa ke undian utama terlaksana selepas mengalahkan Pornpicha Choeikeewong dari Thailand 16-21, 21-14, 21-11 dan bakal berdepan pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani di pusingan pertama esok.

Bagaimanapun, beregu lelaki profesional, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong kalah di pusingan kelayakan 19-21, 19-21 ketika menentang Xie Hao Nan-Zeng Eei Han dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 5:59 PM