SHEVON dan Soon Huat muncul juara Terbuka Switzerland. FOTO BWF
SHEVON dan Soon Huat muncul juara Terbuka Switzerland. FOTO BWF
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejayaan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menjuarai Terbuka Switzerland memberi makna cukup besar buat pasangan itu.

Selepas tewas dalam aksi final edisi 2022 dan 2023, tahun 2024 menyaksikan mereka akhirnya berjaya muncul juara selepas menewaskan rakan senegara Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kesembilan dunia, 21-16, 21-13 dalam tempoh 37 minit di St Jakobshalle, Basel.

Perkara itu diakui Shevon yang menyifatkan tiada lebih gembira dapat digambarkan selepas usaha keras dilalui mereka selama ini.

Kata Shevon, dia bersama kekasihnya Soon Huat sudah berusaha sedaya mungkin dan segala keringat dilakukan selama ini membuahkan hasil diinginkan.

"Buat teman sejati Goh Soon Huat, terima kasih kerana menjadi sumber kekuatan, keyakinan dan juga penyokong kuat saya. Kamu sentiasa berpegang kepada semangat apabila keadaan menjadi sukar.

"Kamu tidak pernah membenarkan sebarang halangan untuk menjatuhkan kita berdua, dan tidak kira sejauh mana sukarnya halangan, kamu sentiasa berdiri teguh dalam kerjasama dan hubungan ini.

"Saya harap detik indah kejayaan ini akan menjadi memori buat kita sepanjang masa," kata Shevon dalam satu hantarannya di laman media sosialnya.

Shevon dalam hantarannya itu turut mendoakan kejayaan buat Tang Jie-Ee Wei.

"Tang Jie-Ee Wei kamu akan terus menjadi yang terbaik. Bangga dengan kamu semua yang membawa bendera Malaysia sentiasa berdiri megah (di luar negara). Teruskan menyinar," kata Shevon.

Untuk rekod, ia kali pertama gandingan Malaysia berjaya muncul juara dalam acara beregu campuran Terbuka Switzerland sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1955.

Ia juga gelaran ketiga buat Soon Huat-Shevon dalam saingan Jelajah Dunia BWF sepanjang kerjaya selepas mengungguli Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 5:30 PM