AARON (kiri) dan Wooi Yik dinasihatkan tunjukkan kemahuan lebih tinggi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
AARON (kiri) dan Wooi Yik dinasihatkan tunjukkan kemahuan lebih tinggi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: 'Api' dalam diri Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih kurang sehingga mereka tidak mampu untuk melakar keputusan memberangsangkan sehingga kini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu pasangan keempat dunia itu perlu menunjukkan kemahuan lebih tinggi menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark bermula 21 hingga 27 Ogos ini.

Malah Rexy mengingatkan Aaron-Wooi Yik tidak hanya muncul setahun sekali selepas menyaksikan mereka menjadi juara dunia di Tokyo, Jepun pada Ogos tahun lalu.

Rexy berkata, Aaron-Wooi Yik perlu belajar daripada kesilapan sendiri bagi memastikan mereka tidak terus tenggelam di mana-mana kejohanan.

"Gelaran juara dunia yang mereka menangi setahun lalu tidak boleh dijadikan sebagai sandaran.

"Nova (Widianto) pernah bertanya kepada saya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menang berapa kejohanan selepas menang All England. Saya jawab mereka menang enam atau tujuh kejohanan, tetapi situasi Aaron-Wooi Yik pula sudah menang (juara dunia) hilang setahun.

"Aaron-Wooi Yik perlu jadi seperti itu, jangan muncul setahun sekali lepas itu hilang," katanya.

Rexy berkata, ketika ini Aaron-Wooi Yik perlu lebih berwaspada memandangkan kebangkitan pemain-pemain lain seperti jaguh Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Dalam pada itu, Rexy mahu Aaron-Wooi Yik menjadikan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei sebagai inspirasi untuk mereka terus kekal konsisten.

"Kita selalu cakap Chong Wei ada banyak gelaran kerana dia memang ada kemahuan tinggi. Mereka harus jadikan kemahuan Chong Wei sebagai inspirasi kerana masih dahagakan kemenangan walaupun sudah ada banyak gelaran.

"Walaupun tanpa pingat emas Kejohanan Dunia dan Olimpik tetapi dia sentiasa tunjukkan kemahuan. Itulah yang patut ada dalam diri setiap pemain, bukan hanya jurulatih," katanya kepada pemberita ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 1:50 PM