PEARLY-THINAAH ketika menentang pemain beregu Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto BATC di Pusat Konvensyen Setia City. FOTO Saifullizan Tamadi
PEARLY-THINAAH ketika menentang pemain beregu Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto BATC di Pusat Konvensyen Setia City. FOTO Saifullizan Tamadi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui skuad wanita gagal menggunakan peluang terhidang ketika berdepan Indonesia pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Walaupun berdepan skuad kedua negara jiran peluang keemasan itu dilepaskan begitu sahaja apabila kalah 0-3 sekali gus gagal mengulangi pencapaian dua tahun lalu ketika beraksi di gelanggang sama Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

Disebabkan itu skuad wanita terlepas peluang slot automatik ke Piala Uber hujung April ini selaku empat pasukan teratas dalam saingan BATC.

Walaupun mengakui tahap kejohanan tahun ini lebih sukar Rexy kecewa pemain wanita negara gagal mengambil kesempatan ketika berdepan skuad kedua Indonesia.

"Saya akui, kejohanan kali ini lebih sukar berbanding dua tahun lalu ketika skuad wanita berjaya mara ke separuh akhir.

"Pasukan seperti Jepun, Thailand dan India menghantar skuad terbaik mereka

"Bagaimanapun, saya masih percaya perlu mengambil peluang ini, terutama menentang Indonesia yang tidak menurunkan perseorangan utama Gregoria Mariska Tunjung dan gandingan beregu nombor satu mereka (Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti).

"Bagi pemain seperti K Letshanaa dan Wong Ling Ching, mereka memerlukan lebih keyakinan diri bahawa mereka boleh melakukannya. Mereka bertarung dengan baik dalam perlawanan mereka dan kadang-kadang kelihatan seperti mereka boleh melakukannya, tetapi mereka tidak melakukannya.

"Pearly Tan-M Thinaah tidak kelihatan selesa di gelanggang dan lawan mereka memanfaatkan perkara ini.

"Pemain perlu memahami bahawa anda tidak boleh sentiasa berada dalam keadaan terbaik, tetapi ia adalah mengenai cara anda menguruskannya. Jika anda terpaksa menang dengan patah kaki sekali pun, lakukannya," kata Rexy.

Walaupun kalah dan tidak layak ke Piala Uber secara merit, pasukan wanita Malaysia mungkin masih boleh layak mengikut kedudukan ranking berpasukan dunia.

Ia juga dibantu Hong Kong dan Singapura, yang berada di kedudukan lebih rendah daripada Malaysia, juga tidak berjaya mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 5:55 PM