ANMOL diraikan rakan senegara selepas menyumbang mata kemenangan selepas menewaskan Pornpicha Choeikeewong. -FOTO Saifullizan Tamadi
ANMOL diraikan rakan senegara selepas menyumbang mata kemenangan selepas menewaskan Pornpicha Choeikeewong. -FOTO Saifullizan Tamadi
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Jika sebelum ini India terkenal dengan filem membabitkan atlet wanita dalam sukan hoki seperti Chak De!, Mary Kom (tinju), Saina (badminton), Shabaash Mithu (kriket), Dangal (gusti) sudah tiba masanya skuad badminton mereka pula difilemkan selepas melakar sejarah merangkul kejuaraan sulung Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Skuad badminton wanita mereka berjaya menjulang trofi berkenaan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) selepas menumbangkan Thailand 3-2 dalam aksi final sebentar tadi.

Kejayaan ini sedikit sebanyak mengubati kekecewaan skuad wanita India yang sudah tiga kali terkandas di separuh akhir Piala Uber sebelum ini.

Selepas terikat 2-2, pemain perseorangan ketiga India, Anmol Kharb muncul wira pasukan apabila menyumbang mata kemenangan menerusi kejayaan menewaskan Pornpicha Choeikeewong 21-14, 21-9.

Anmol yang baru berusia 17 tahun mengakui teruja apabila berjaya menjadi watak penting dalam lipatan sejarah yang dilakar pasukan wanita India pada saingan BATC.

"Saya sangat gembira kerana dapat membantu India memenangi pingat emas, dalam penampilan pertama saya di BATC," katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Ujarnya yang juga juara kebangsaan termuda negaranya, ia adalah sejarah untuk pasukan wanita India dan ia tercipta di SCCC, Malaysia.

Terdahulu, P V Sindhu yang menggalas tugas selaku perseorangan pertama menyumbang mata pertama India selepas mengetepikan cabaran Supanida Katethong 21-12, 21-12.

India kemudian terus selesa di depan menerusi kemenangan gandingan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand yang menundukkan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-16, 18-21, 21-16.

Bagaimanapun, Thailand bangkit menerusi perseorangan kedua, Busanan Ongbamrungphan yang menewaskan Ashmita Chaliha 21-11, 14-21 sebelum gandingan adik beradik, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard menundukkan Priya Konjengbam-Shruti Mishra 21-11, 21-9 untuk mengheret aksi perlawanan penentuan.

Skuad wanita India pada edisi kali ini menampilkan persembahan luar biasa apabila menumbangkan pasukan gergasi China di peringkat kumpulan sebelum menumpaskan Hong Kong dan Jepun masing-masing di peringkat suku akhir dan separuh akhir dalam laluan bergelar juara.

Pada 2022, skuad lelaki India mencipta sejarah apabila muncul juara Piala Thomas buat kali pertama di Bangkok, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 4:41 PM