REXY (kanan) mengingatkan pemain tetap perlu berwaspada dan harus menyempurnakan sasaran mara ke separuh akhir. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
REXY (kanan) mengingatkan pemain tetap perlu berwaspada dan harus menyempurnakan sasaran mara ke separuh akhir. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan dan menolak untuk menyenaraikan beregu profesional negara bagi diturunkan menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Beliau merasa adalah tepat untuk menyenaraikan beregu Man Wei Chong-Tee Kai Wun selaku beregu ketiga berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan oleh pasangan muda negara itu bermula di Scotland, Eropah dan juga terbaru muncul juara di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India minggu lalu.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna peluang buat pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sudah tertutup untuk mewakili negara dalam acara berpasukan itu.

"Saya tidak menolak mereka. Piala Thomas juga masih jauh lagi iaitu Mei dan macam-macam boleh berlaku.

"Wei Chong-Kai Wun juga masih muda dan mereka adalah pemain masa depan dan perlu diberi peluang.

"Kita perlu yakin dan beri kepercayaan serta peluang selepas mereka membuktikan kemampuan muncul juara di Syed Modi dengan menewaskan beregu lebih ternama," katanya.

Rexy berkata biarpun tanpa kehadiran China dan dimaklumkan bahawa Indonesia dan Jepun juga tidak akan menghantar barisan terkuat di BATC kali ini tetapi pemain tetap perlu berwaspada dan harus menyempurnakan sasaran mara ke separuh akhir sekali gus layak ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber di Bangkok, Thailand, Mei depan secara merit.

"Sebagai tuan rumah, memang satu perkhabaran yang baik bila dimaklumkan China tidak akan menyertai kejohanan kali ini dan Indonesia dan Jepun tidak menghantar barisan terkuat.

"Tapi kita tidak boleh ambil mudah kerana Jepun biarpun tidak menghantar barisan terkuat tapi mereka masih mempunyai ramai pemain yang bagus.

"Jadi jangan sesekali anggap mudah kerana masih ada pasangan yang boleh susahkan beregu negara," katanya.

Kejohanan BATC tahun ini dijadualkan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam bermula 15 hingga 20 Februari depan.

Pada Edisi 2020, skuad lelaki mara ke final sebelum tewas 1-3 di tangan Indonesia manakala pasukan pula wanita berakhir dengan terkandas di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 6:14 PM