TZE  Yong alami kecederaan ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe di Terbuka Malaysia.
TZE Yong alami kecederaan ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe di Terbuka Malaysia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengesahkan pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong tidak akan menyertai dua lagi kejohanan kerana belum pulih daripada kecederaan otot tulang belakang dialaminya ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Selepas terlepas aksi Terbuka India yang sedang berlangsung ketika ini, dua kejohanan seterusnya tidak dapat disertai Tze Yong ialah Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari) dan Terbuka Thailand (30 Januari hingga 4 Februari).

Perkembangan terbaru itu menyaksikan Tze Yong jelas berdepan dengan kekangan masa dalam usahanya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Ada perkembangan positif yang ditunjukkan dalam proses pemulihan dilalui Tze Yong tetapi pasukan perubatan tidak mahu terburu-buru untuk membenarkan dia kembali ke gelanggang.

"Jadi, kita buat keputusan untuk dia tarik diri di Masters Indonesia dan Masters Thailand bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan proses pemulihan," kata Rexy.

Menurut Rexy, Tze Yong yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijangka kembali ke gelanggang bermula di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Selangor dari 13 hingga 18 Februari depan.

Selepas aksi di BATC, Tze Yong akan mengharungi jadual yang padat sehingga April depan apabila dia perlu menyertai kejohanan berturut-turut di Eropah dalam usaha melayakkan diri ke Olimpik Paris.

"Sekurang-kurangnya dia perlu bermain empat kejohanan di Eropah dan satu Kejohanan Asia (individu) pada April. Kejohanan mana yang dia akan beraksi di Eropah nanti akan ditentukan oleh jurulatihnya (Hendrawan)," kata Rexy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 5:04 PM