Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong
Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kem badminton negara menerima tamparan hebat apabila pemain perseorangan negara Ng Tze Yong disahkan akan menjalani pembedahan kecil pada belakangnya bermula minggu hadapan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataannya di Facebook mengesahkan perkara itu sekali gus menyebabkan pemain ranking ke-15 dunia itu terlepas beberapa kejohanan antarabangsa.

Pemain terbabit kemungkinan terpaksa melupakan kejohanan membabitkan Terbuka Seluruh England dan Terbuka Perancis kerana perlu berehat dua hingga enam minggu sekali gus bakal menjejaskan peluangnya ke Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada sesi pemulihan Tze Yong sebelum mengambil langkah selanjutnya.

"Keutamaan BAM sentiasa untuk pemain kami. Fokus kami adalah pada rawatan dan proses pemulihan Tze Yong.

"Setelah dia pulih, kami akan membincangkan langkah seterusnya. Buat masa ini, kami ingin beliau memberi tumpuan kepada merawat dan mengatasi kecederaan ini,"katanya.

Namun begitu, BAM memaklumkan bahawa pemain berusia 24 tahun itu masih berpeluang menyertai kejohanan di Master Sepanyol dan Asia Badminton di NingBo, bergantung kepada perkembangan pemulihannya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan BAM memandang serius berhubung kecederaan pemain perseorangan lelaki negara, Tze Yong dan sentiasa meletakkan kepentingan kebajikan pemain lebih daripada segalanya.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan Tze Yong sambil dibantu Institut Sukan Negara (ISN) supaya pemain itu dapat kembali cergas sekali gus mengutip kembali mata untuk layak ke Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 4:30 PM