TZE Yong bergelut dengan kecederaan belakang, FOTO EFFENDY RASHID
TZE Yong bergelut dengan kecederaan belakang, FOTO EFFENDY RASHID
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Gara-gara kecederaan yang dialami oleh pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika Terbuka Malaysia yang lalu menyebabkan ranking Race to Paris pemain itu jatuh ke kedudukan ke-14.

Tze Yong perlu menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik sekiranya mahu menyaksikan adanya dua wakil negara ke temasya Olimpik Paris selepas Lee Zii Jia berada di ranking ke-10.

Namun jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, peluang untuk melihat pemain berusia 24 tahun itu beraksi di Kota Paris masih terbuka.

Tze Yong ketika ini sudah pun terlepas empat kejohanan besar yang menawarkan mata kelayakan Olimpik bermula di Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Thailand Masters.

"Masih ada beberapa siri kejohanan di Eropah dan kita harap dia dapat kembali ke prestasinya semula. Jangan bimbing, dia masih ada peluang lagi.

"Buat masa ini, Tze Yong menjalani latihan di gimnasium kendalian jurulatih fizikal, Mohd Roesdi Ab Ghani," katanya.

Tey Seu yang sebelum ini pernah mengendalikan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yakin Tze Yong mampu untuk pulih dengan segera seperti yang pernah berlaku kepada Chong Wei.

"Chong Wei pernah terseliuh kaki kurang tiga bulan sebelum Olimpik London dan Tze Yong pula ketika ini berada dalam landasan tempat untuk membolehkan dia bermain di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Selangor, 13 hingga 18 Februari depan.

"Tapi sekarang ini mungkin ada ada sedikit trauma sebab risau sakit itu datang balik sebab dia belum pulih sepenuhnya dan jika jika pergerakan yang dipaksa akan mendatangkan kesakitan semula, jadi itu juga kurang bagus," katanya.

BATC yang juga kejohanan sebenua turut menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris, bakal menjadi pentas antarabangsa pertama buat Tze Yong selepas terpaksa menarik diri di pusingan pertama Terbuka Malaysia akibat kecederaan otot tulang belakang ketika melakukan smash.

Tze Yong dijangka menyertai kejohanan di Eropah bermula dengan Terbuka Jerman (Super 300) pada 27 Februari hingga 3 Mac, Terbuka Perancis (Super 750) 5 hingga 10 Mac, Seluruh England (Super 1,000) 12 hingga 17 Mac, dan Terbuka Switzerland (Super 300) pada 19 hingga 24 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 3:30 PM