SZE Fei dan Izzuddin kembali digandingkan pada Mei lalu.
SZE Fei dan Izzuddin kembali digandingkan pada Mei lalu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei berharap keputusan lebih cemerlang dapat dicapai bersama gandingannya Nur Izzuddin Rumsani tahun depan.

Sze Fei kini menetapkan sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi musim 2024 selepas mereka kembali digandingkan semula Mei lalu.

Sejak kembali bersama Sze Fei-Izzuddin berjaya merangkul tiga kejuaraan - Super 300 Terbuka AS, Super 100 Kaoshiung Masters dan Super 100 Masters Abu Dhabi sekali gus melonjakkan mereka daripada ranking 53 ke kedudukan ke-26 dunia dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Sze Fei optimis dia bersama Izzuddin boleh kembali memberi impak dalam dunia badminton dan sasaran kembali ke kelompok 10 terbaik dunia bukan mustahil dengan misi itu bermula di Terbuka Malaysia dari 9 hingga 14 Januari ini.

Sze Fei dan Izzuddin pernah menghuni ranking kesembilan terbaik dunia sebelum ini namun nasib tidak menyebelahi mereka dengan rentetan keputusan mengecewakan sehingga membawa kepada perpecahan.

"Apabila musim kembali bermula, kami berharap kami akan berada di prestasi terbaik dan dapat menghuni semula ranking 10 terbaik dunia. Jika kami berjaya mencapai sasaran itu kami boleh melangkah lebih jauh lagi," katanya yang berharap keputusan positif dicapai ketika Terbuka Malaysia nanti.

Bagaimanapun, laluan beregu negara itu tampak sukar dengan undian dilihat tidak memihak kepada mereka. Begitupun, mereka tetap optimis untuk memberikan yang terbaik dan melepasi setiap halangan mendatang.

Sze Fei-Izzuddin akan memulakan kempen mereka menentang Supak Jomkoh-Kittinupon Kedren dari Thailand dan berpotensi menentang rakan sepasukan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pilihan ketiga, dalam pusingan 16 terakhir.

Sepanjang lapan tahun bersama gandingan negara ini berjaya memperoleh dua gelaran Super 300 termasuk juara Terbuka Jerman tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 3:59 PM