SZE Fei dan Izzudin muncul juara selepas menewaskan pasangan Taiwan. FOTO BAM
SZE Fei dan Izzudin muncul juara selepas menewaskan pasangan Taiwan. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Mereka sudah kembali, ia seperti satu amaran daripada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas kembali merasai nikmat kejuaraan apabila merangkul gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-9, 21-10 pada aksi final yang berlangsung di Mid-America Center di Council Bluffs, Iowa.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, kejayaan itu sebagai permulaan positif buat Sze Fei-Izzuddin yang kembali bergandingan selepas lima bulan berpisah.

"Saya percaya kejayaan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka untuk terus berjuang terutama bagi mengembalikan semula sentuhan mereka yang hilang selepas berpisah," kata legenda badminton Indonesia itu.

Ujar Rexy, ia satu permulaan baik untuk Sze Fei-Izzuddin dengan harapan momentum itu dapat dikekalkan untuk kejohanan seterusnya.

Kejayaan pasangan ranking ke-53 itu turut menyaksikan mereka menamatkan kemarau 31 tahun Malaysia untuk mengungguli saingan beregu lelaki di Terbuka AS selepas kali terakhir dimenangi Datuk Cheah Soon Kit-Soo Beng King pada edisi 1992.

Terbuka AS adalah kejohanan pertama buat Izzuddin-Sze Fei selepas mereka kembali bergandingan semula pada Mei lalu.

Pada Januari lalu, bekas juara Terbuka Jerman itu membuat keputusan untuk berpisah atas alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Bagaimanapun, empat bulan selepas itu, mereka kembali digandingkan bagi mengejar impian untuk memburu tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sze Fei-Izzuddin selepas ini mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi saingan Terbuka Korea yang bermula esok. Mereka dijadual menentang pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang pada aksi pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 10:44 AM