REXY bersama barisan pemain yang akan beraksi di Jelajah Dunia Akhir. FOTO Aswadi Alias
REXY bersama barisan pemain yang akan beraksi di Jelajah Dunia Akhir. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak mahu barisan anak buahnya mengangkat bendera putih terlalu awal apabila diundi dalam kumpulan yang 'maut' dalam saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, bermula esok.

Rexy berkata, wakil negara mampu melangkah lebih jauh pada saingan terbabit jika mereka tetap fokus pada setiap perlawanan dan kurang melakukan kesilapan.

Walaupun tidak meletakkan sasaran pada kejohanan terakhir 2023 itu, namun mengharapkan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berkebolehan melakukan kejutan dengan menewaskan lawan yang berad di ranking lebih baik.

"Mereka diundi bersama lawan yang cukup kuat dan mempunyai rekod baik namun itu semua hanyalah berdasarkan atas kertas kerana wakil negara mampu melakukan kejutan.

"Apa yang saya katakan kepada mereka adalah kurang melakukan kesilapan dan fokus pada setiap perlawanan supaya tidak terlalu tertekan.

"Pada aksi kali ini, saya tidak meletakkan sebarang sasaran namun mengharapkan terbaik daripada mereka untuk melakar kejayaan buat Malaysia," katanya.

Pada undian yang berlangsung semalam menyaksikan Aaron-Wooi Yik diundi dalam kumpulan A bersama pasangan nombor satu dunia dari China Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selain Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Sebagai rekod, ini adalah kali keempat Aaron-Wooi Yik layak beraksi di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.70 juta) itu selepas edisi 2019, 2020 dan 2022.

Tiga edisi sebelum ini menyaksikan bekas juara dunia itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Kumpulan B pula dibarisi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).

Sementara itu, undian bagi saingan beregu campuran menyaksikan pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan membuat penampilan pertama di kejohanan itu diundi dalam Kumpulan A.

Pasangan itu diundi bersama gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand).

Saingan Kumpulan B membariskan gandingan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, Seung Jae-Chae Yu Jung (Korea), Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Korea) dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong).

Mengikut format pertandingan, dua pasangan teratas peringkat kumpulan layak ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 3:07 PM