AARON (kiri) dan Wooi Yik tewas dalam dua perlawanan awal Kumpulan A, setakat ini. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik tewas dalam dua perlawanan awal Kumpulan A, setakat ini. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hanya keajaiban mampu membawa beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melangkah ke separuh akhir saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China.

Gandingan nombor tiga dunia itu wajib menang aksi terakhir Kumpulan A menentang beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan straight set.

Pada masa sama, Aaron-Wooi Yik turut mengharapkan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi tewas dalam aksi menentang satu lagi beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas mencatat dua kemenangan.

Aaron-Wooi Yik berada dalam situasi sukar selepas merekodkan kekalahan kedua dalam peringkat kumpulan apabila tunduk di tangan Yu Chen-Xuan Yi, hari ini.

Pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, kedua-dua pasangan menyajikan saingan sengit dengan saling mengejar mata terutama di set ketiga sebelum Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 18-21, 20-22.

Semalam, bekas juara dunia itu tewas aksi pertama kumpulan menentang Hoki-Kobayashi.

Meskipun peluang ke separuh akhir tampak sukar, Aaron tidak enggan mengaku kalah terlalu awal sebaliknya akan terus berjuang untuk mencatat kemenangan dalam aksi terakhir kumpulan.

"Saya fikir prestasi kami hari ini baik cuma tuah tidak menyebelahi kami. Biarpun kami mendahului set kedua, tetapi selepas itu banyak melakukan kesilapan mudah. Lawan kami lebih jelas dengan apa yang mereka mahu lakukan.

"Masih ada satu lagi perlawanan esok dan kami akan berikan yang terbaik untuk mencatat kemenangan," kata Aaron selepas tamat perlawanan, hari ini.

Sementara itu, Wooi Yik menganggap dua kekalahan dialami dalam saingan peringkat kumpulan pada kempen kali ini memberi pengajaran berguna kepada mereka.

"Sudah tentu kami belajar daripada setiap perlawanan apatah lagi mereka adalah pasangan utama dunia dan akan menjadi lawan kami pada masa depan.

"Ia adalah satu pengalaman berguna untuk kami," katanya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga penampilan mereka di kejohanan akhir musim itu, sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 4:22 PM