BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Harapan untuk melihat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke separuh akhir buat pertama kali terkubur selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-18, 14-21, 12-21 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, hari ini.

Pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, beregu nombor tiga dunia itu memerlukan kemenangan straight set bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya dan ia bermula dengan baik selepas mereka mempamrkan permainan menyakinkan serta kurang melakukan kesilapan mudah untuk menang set pertama ke 21-18.

Namun Aaron-Wooi Yik menghadapi kesukaran di set kedua untuk meneruskan rentak kemenangan itu apabila Wei Keng-Wang Chang mempamerkan kebangkitan dengan permainan pantas serta lebih tersusun untuk menang 14-21 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Di set ketiga, corak permainan yang ditampilkan oleh Aaron-Wooi Yik bagai tidak menjadi sering melakukan kesilapan sekali gus membolehkan beregu China terus mengutip mata bagi menjarakkan kedudukan untuk menang mudah 12-21.

Selepas tiga perlawanan, beregu negara itu gagal mencatat sebarang kemenangan dan mereka menutup kejohanan berkenaan di kedudukan tercorot Kumpulan A.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga penampilan mereka di kejohanan akhir musim itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 3:03 PM