AARON (kanan) dan Wooi Yik tewas di tangan Hoki dan Kobayashi dalam pertarungan tiga set, semalam. FOTO BERNAMA
AARON (kanan) dan Wooi Yik tewas di tangan Hoki dan Kobayashi dalam pertarungan tiga set, semalam. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kekalahan di tangan beregu Jepun di suku akhir, semalam, seakan-akan membakar semangat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menebus kegagalan menyumbang mata itu pada aksi separuh akhir Piala Thomas menentang China, petang esok.

Menurut Aaron, dia dan Wooi Yik berasa kecewa kerana gagal menyumbangkan mata kepada pasukan, tetapi menegaskan perjuangan mereka masih belum berakhir dan akan berusaha melakukan yang terbaik pada pertemuan dengan China.

"Saya perlu ucapkan tahniah kepada pasukan kerana semua memberikan komitmen 100 peratus dan kami berjaya melangkah ke separuh akhir," katanya yang menduduki ranking kelima dunia bersama Wooi Yik.

Ujar Aaron, dia kecewa di atas kekalahan semalam dan tidak dapat menyumbang mata kepada pasukan, tetapi perjuangannya masih belum selesai.

"Masih ada perlawanan separuh akhir menentang China. Ia akan menjadi perlawanan paling sukar untuk kami, tetapi saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk menghadapinya," katanya.

Semalam, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur apabila tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam pertarungan tiga set 21-18, 14-21, 19-21 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, sekali gus menyaksikan rekod kekalahan mereka dengan pasangan berkenaan berlanjutan untuk tujuh perlawanan berturut-turut sejak 2021.

Bagaimanapun, Malaysia tetap berjaya melangkah ke separuh akhir menerusi kemenangan 3-1 hasil mata disumbangkan dua pemain perseorangan , Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao selain beregu nombor dua, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani.

Menjelang aksi dengan China esok, Aaron-Wooi Yik berdepan tugas getir apabila dijangka bertemu pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang untuk tugas selaku beregu pertama.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik hanya menang sekali ke atas lawan berkenaan dalam tujuh pertemuan sebelum ini termasuklah tewas dalam tiga perlawanan terakhir antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 4:29 PM