AARON (kiri) dan Wooi Yik perlu menang dua lagi aksi Kumpulan A jika ingin layak ke separuh akhir. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik perlu menang dua lagi aksi Kumpulan A jika ingin layak ke separuh akhir. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, dengan langkah kiri apabila tewas 16-21, 21-14, 18-21 kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi pertama Kumpulan A, hari ini.

Kekalahan pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu bermakna pasangan nombor tiga dunia itu memilih jalan sukar untuk melangkah ke separuh akhir.

Aaron-Wooi Yik yang tewas di set pertama bangkit menyamakan kedudukan di set kedua, namun aksi lebih kemas ditampilkan Hoki-Kobayashi pada set penentuan, sekali gus memastikan kemenangan kepada lawan dari Jepun itu.

Rekod pertemuan Aaron-Wooi Yik dengan Hoki-Kobayashi sememangnya tidak memihak kepada pasangan negara apabila hanya melakar dua kemenangan sepanjang sembilan pertemuan antara mereka.

Malah kekalahan hari ini adalah yang keenam berturut-turut dialami Aaron-Wooi Yik di tangan lawan itu sejak separuh akhir Piala Sudirman 2021.

Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik tidak mempunyai pilihan selain wajib menang dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan menentang dua wakil China iaitu pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Mengikut format pertandingan, hanya dua pasangan teratas dalam setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga penampilan mereka di kejohanan akhir musim itu, sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 4:12 PM