KISONA meninggalkan BAM tahun lalu untuk menjadi pemain profesional, namun kerap dibelenggu kecederaan. FOTO ARKIB NSTP
KISONA meninggalkan BAM tahun lalu untuk menjadi pemain profesional, namun kerap dibelenggu kecederaan. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2023 kelmarin, pujian harus diberikan kepada perseorangan wanita profesional negara, S Kisona kerana sanggup berjuang dalam dalam kesakitan.

Ketika berdepan pemain Taiwan, Pai Yu Po, Kisona seakan berada di landasan kemenangan selepas menang set pertama dan mendahului 15-11 di set kedua, namun kecederaan lama di bahagian hamstring mengehadkan pergerakannya.

Kisona cuba untuk memberi tentangan walaupun sedar sukar bergerak sebelum tumpas 22-20, 19-21, 13-21.

"Hanya bahagian hamstring saya yang sakit ketika itu, sedangkan saya masih boleh menggerakkan tangan dan kaki.

"Saya mengalami kecederaan ini semasa Sukan Universiti Dunia (Universiade), pemulihan penuh biasanya mengambil masa empat hingga enam minggu, tetapi saya hanya melakukan lebih seminggu pemulihan penuh. Jadi saya mengambil risiko bermain," kata pemain ranking ke-57 dunia itu.

Kisona yang hampir tidak boleh berjalan dan berdiri selepas perlawanan itu mengakui seperti terlupa sedang mengalami kecederaan.

"Bagaimanapun kesakitan dirasai ketika saya mendahului di set kedua, dan ketika itulah saya tidak dapat berlari sebanyak mungkin.

"Saya cuba untuk teruskan aksi, tetapi kesakitannya terlalu dirasai. Saya masih tersenyum di sini kerana sebagai pemain perlu terus berusaha.

"Sebelum ini saya pernah rasa down bila terbaca komen negatif mengenai saya," katanya.

Untuk rekod, kerjaya Kisona dibelenggu dengan pelbagai kecederaan, termasuk kedua-dua lututnya.

Malah, pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tahun lalu untuk memberi tumpuan kepada pemulihannya dan terus bermain sebagai pemain profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 4:54 PM