KISONA kejutkan pilihan ketiga kejohanan di Ipoh, hari ini. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
KISONA kejutkan pilihan ketiga kejohanan di Ipoh, hari ini. — FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS agak ketinggalan berbanding pemain lain, S Kisona tidak menganggap ia satu halangan untuknya melakar kejuaraan hatrik pada Siri Antarabangsa Malaysia di Arena Badminton Perak, Ipoh.

Kisona membuktikan dia berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan selepas mengejutkan pilihan ketiga dari Indonesia, Bening Sri Rahayu 21-9, 21-14 hari ini.

Bagaimanapun, pemain dari Negeri Sembilan itu mengakui dia tidak begitu gembira dengan prestasinya walaupun mencatat kemenangan meyakinkan.

“Saya harap mampu beraksi lebih baik bagi aksi seterusnya. Mengenai kemenangan ke atas pemain pilihan, saya sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa sebelum perlawanan hanya fokus kepada apa yang saya inginkan di gelanggang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kisona yang akan berdepan pemain Taiwan, Peng Li Ting pada pusingan ketiga esok, mengakui semakin yakin selepas mengharungi dua perlawanan sukar termasuk ketika menumpaskan Saranporn Pornpattanamongkol dari Thailand pada pusingan pertama.

“Menjadi penyandang gelaran memang sedikit tertekan namun ia perkara normal. Saya harap sangat mampu meraih kejuaraan kali ketiga berturut-turut,” katanya yang meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir atau akhir mana-mana kejohanan antarabangsa bagi memperbaiki ranking.

Turut mara ke pusingan ketiga pilihan kedua, Ho Yen Mei yang menumpaskan Aisyah Sativa Fatetani dari Indonesia 21-16, 24-22 manakala Eoon Qi Xuan pula mengalahkan Stephanie Widjaja juga dari Indonesia 21-10, 21-7.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:03 PM