S Kisona. FOTO Ihsan BAM
S Kisona. FOTO Ihsan BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Lebih lima bulan berehat panjang berikutan penularan pandemik Covid-19 menyaksikan perseorangan wanita negara, S Kisona mahu melakar kejutan dengan memberi tentangan sengit pada kejohanan Siri Asia Jelajah Dunia BWF di Bangkok.

Kisona berkata, dia akan mempamerkan aksi terbaik dan mahu mencipta kejayaan bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 dalam acara perseorangan wanita berkata, dia tidak mahu meletakkan harapan tinggi namun tetap optimis mampu melakar kejutan.

"Saya akan berikan persembahan terbaik memandangkan ini adalah kejohanan antarabangsa yang pertama disertai selepas berehat panjang," katanya.

Sementara itu, pemain beregu negara Izzuddin Rumsani berkata standard operasi prosedur (SOP) dan langkah keselamatan di Thailand membabitkan pemain badminton cukup ketat dengan sentiasa dipantau serta dikawal oleh pegawai sukan.

"Setiap pergerakan kami dipantau bagi memastikan mematuhi SOP seterusnya mahu mengelak pemain dan pegawai pasukan dijangkiti Covid-19.

"Pada masa sama, kami juga sudah menjalani latihan di gelanggang yang disediakan dan sudah bersedia memberikan persembahan terbaik pada kejohanan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 10:04 PM