SELEPAS diberikan kemenangan percuma semalam, Kisona terpaksa akur apabila penganjur mengatur semula perlawanan menentang Saina hari ini. FOTO NSTP
SELEPAS diberikan kemenangan percuma semalam, Kisona terpaksa akur apabila penganjur mengatur semula perlawanan menentang Saina hari ini. FOTO NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Mentaliti pemain badminton negara jelas sekali teruji pada kejohanan Yonex Terbuka Thailand di Bangkok apabila ada antara pemain negara perlu berhadapan dengan lawan yang disahkan positif Covid-19 bagi mengharungi cabaran untuk ke pusingan seterusnya.

Perkara terbabit disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria apabila memaklumkan pemain perseorangan wanita negara S Kisona perlu berhadapan dengan wakil daripada India Saina Nehwal pada pusingan pertama.

Beliau berkata, sebelum ini Saina disahkan sudah menarik diri apabila ujian calitan mendapati dia positif Covid-19 sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada Kisona.

"Namun, secara tiba-tiba penganjur membuat pusingan U apabila meminta Kisona beraksi menentang Saina pada pusingan pertama.

"Alasan mereka bahawa Saina positif Covid-19 namun tidak menjangkiti pemain lain. Kita tidak boleh menerima alasan ini kerana penganjur sudah memberikan kemenangan percuma kepada Kisona namun sekarang menarik pula keputusan itu.

"Kita sudah membuat bantahan rasmi kepada Persatuan Badminton Thailand (BAT) dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk meneliti kembali keputusan ini kerana ia adalah tidak adil malah pemain negara juga boleh terdedah kepada jangkitan Covid-19," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Norza memaklumkan semua pemain negara disahkan negatif Covid-19 pada ujian calitan susulan dan boleh meneruskan saingan peringkat seterusnya.

Saina dilaporkan positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian ketiga dan Kisona sepatutnya bertemu pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan untuk aksi pusingan kedua.

Kisona tumpas 15-21, 15-21 sebentar tadi ketika berdepan Saina dalam aksi yang berlangsung selama 36 minit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 10:36 PM