REAKSI Kisona selepas menewaskan Ruselli  untuk meraih emas Sukan Sea Filipina.
REAKSI Kisona selepas menewaskan Ruselli untuk meraih emas Sukan Sea Filipina.
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS berjaya melakukan kejutan dan meraih emas perseorangan wanita di Sukan SEA Manila 2019, kehidupan S Kisona terus berubah 360 darjah.

Sebelum ini pemain berusia 21 tahun itu kurang dikenali dan dibayangi pemain senior lain seperti Soniia Cheah, Goh Jin Wei dan Ho Yen Mei.

"Orang sudah mula mengenali saya dan ini pengalaman baru buat saya. Dalam masa sama ia menaikkan semangat dan memberi motivasi buat saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Kisona yang berasal dari Negeri Sembilan mengakui tidak menang tangan apabila mendapat jemputan daripada pelbagai pihak di atas kejayaan di Manila.

"Saya juga mendapat jemputan majlis berbentuk bual bicara dan juga perlu hadir ke konti radio. Ia memang membuatkan saya berasa sibuk tapi setakat ini saya mampu mengawalnya dengan baik.

KISONA diraikan Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan.
KISONA diraikan Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan.

"Sekarang saya mula sedar, perkara seperti inilah dilalui oleh Datuk Lee Chong Wei dan pemain senior yang lain. Ia pengalaman baru buat saya," katanya.

Kisona berjaya meraih emas di Manila selepas menumbangkan pemain ke-24 dunia, Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia), sebelum menumpaskan wakil Thailand, Nitchaon Jindapol (22). Dalam aksi akhir dan kali keempat berturut-turut Kisona bermain sehingga ke set penentuan, dia berjaya menewaskan seorang lagi wakil Indonesia yang juga pemain ranking ke-37 dunia, Ruselli Hartawan.

Ditanya mengenai prestasinya secara keseluruhan musim ini, pemain ranking 104 dunia itu mengakui dia kurang berpuas hati dan masih banyak perlu diperbaiki.

"Tahun depan saya berharap mampu melonjak kedudukan berada dalam kelompok 50 terbaik dunia," katanya yang merangkul gelaran Terbuka Hellas dan Cabaran Antarabangsa Sydney tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 7:49 PM