KISONA (kiri) bersama keluarga tersayang. -Foto NSTP
KISONA (kiri) bersama keluarga tersayang. -Foto NSTP
Ferzalfie Fauzi


SAMBUTAN Deepavali tahun ini begitu bermakna buat pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona apabila berpeluang meraikan bersama keluarga di Seremban.

Kegembiraan Kisona itu tidak sukar ditafsirkan kerana sebelum ini dia tidak dapat meraikannya kerana terpaksa bertanding di luar negara.

Kisona yang meraih dua kejuaraan musim ini di Siri Antarabangsa Indonesia dan Malaysia, mengakui sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung, petang ini bagi menyambut perayaan Pesta Cahaya bersama keluarga.

"Saya tidak sedih walaupun sebelum ini tidak boleh meraikannya kerana yang penting saya berjuang untuk negara terlebih dulu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua masyarakat India dan peminat sukan di Malaysia.

"Saya harap semua gembira menyambutnya bersama keluarga tercinta," katanya yang sedang membuat persediaan untuk beraksi pada Cabaran Antarabangsa Indonesia minggu depan.

Ditanya mengenai sasarannya untuk kejohanan berkenaan, pemain ranking ke-139 dunia itu berharap mampu untuk memberikan aksi terbaik sehingga ke akhir saingan.

"Saya belum berpuas hati dengan prestasi saya walaupun sudah merangkul dua kejuaraan bertaraf Siri Antarabangsa. Saya belum mencapai sasaran peribadi saya. Saya harap selepas ini lebih banyak lagi kejuaraan dapat diraih.

"Sasaran pertama saya sebelum ini sudah diraih iaitu merangkul kejuaraan bertaraf Siri Antarabangsa. Sekarang tumpuan terarah kepada kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa. Saya berharap dapat meraihnya secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 7:43 PM