PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann (dua kiri) bersama  perseorangan lelaki negara,  Zii Jia  (kiri), beregu campuran negara, Shevon Lai  dan Goh Soon Huat pada sesi Undian Badminton Piala Dunia di Ibu Pejabat BWF, Kuala Lumpur.  - FOTO Aswadi Alias
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann (dua kiri) bersama perseorangan lelaki negara, Zii Jia (kiri), beregu campuran negara, Shevon Lai dan Goh Soon Huat pada sesi Undian Badminton Piala Dunia di Ibu Pejabat BWF, Kuala Lumpur. - FOTO Aswadi Alias
Saiful Affendy Sapran


WALAUPUN bakal melakukan penampilan pertama pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland dari 19 hingga 25 Ogos ini, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meletakkan sasaran tinggi untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Keyakinan Zii Jia selepas menyaksikan undian untuk kejohanan berpestij itu yang dilihat memihak kepadanya.

Pemain menduduki ranking ke-17 dunia itu akan bertemu Ygor Coelho dari Brazil pada pusingan pertama sebelum dijangka menemui wakil China, Lu Guang Zu di pusingan kedua. "Undian tidak begitu buruk untuk saya apabila bertemu pemain Brazil (Coelho) di pusingan pertama dan jika dapat melangkah ke pusingan kedua akan bertemu pemain China (Guang Zu) pula.

“Kemudian pada pusingan ketiga mungkin saya akan bertemu Kenta Nishimoto. Saya pernah tewaskannya sebelum ini," katanya pada sidang media selepas undian Kejohanan Dunia hari ini.

Sementara itu Zii Jia tidak melihat ketiadaan beberapa nama besar termasuk Viktor Axelsen (Denmark) dan Shi Yuqi (China) akibat kecederaan sebagai satu kelebihan untuknya.

"Untuk perseorangan lelaki, semua pemain sukar untuk saya. Harap akan ada berita baik dan satu keputusan bagus buat saya di sana nanti. Saya harap dapat mengekalkan kecergasan kerana ia sesuatu yang amat penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 9:35 PM