ZALEHA mencuba nasib untuk mendapatkan model mini Myvi. FOTO Wan Izzati Amir
ZALEHA mencuba nasib untuk mendapatkan model mini Myvi. FOTO Wan Izzati Amir
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Ada yang menjangkakan mereka akan memenangi sebuah kereta Myvi tetapi ternyata hanya model mini Myvi.

Model mini Myvi itu adalah antara hadiah yang disediakan pihak penganjur kejohanan Masters Malaysia 2023 untuk peminat badminton yang bertuah.

Peminat berpeluang memenangi hadiah itu dengan melakukan servis ke dalam lubang yang disediakan dan perlu mengumpul sebanyak 150 mata.

Masters Malaysia 2023 yang bermula semalam menyaksikan ramai peminat badminton turun padang untuk memberikan sokangan.

Peminat setia badminton, Zaleha Zainal, 30, juga turut mencuba nasib untuk dapatkan model mini Myvi.

"Sementara menunggu perlawanan pemain Malaysia seterusnya saya ambil peluang untuk ronda di booth yang terdapat di sini.

"Saya dan ahli keluarga memang minat tengok perlawanan badminton dan memang dari tahun lalu kami akan datang menyokong.

"Saya beli tiket termasuk tiket perlawanan akhir walaupun tidak pasti adakah terdapat pemain Malaysia yang akan bermain pada perlawanan akhir," katanya.

Kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur itu bakal berakhir pada 28 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 3:40 PM