JAGUH Jepun, Kento Momota muncul juara perseorangan lelaki Masters Malaysia edisi 2020. FOTO ARKIB NSTP
JAGUH Jepun, Kento Momota muncul juara perseorangan lelaki Masters Malaysia edisi 2020. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, tiket untuk Kejohanan Masters Malaysia akan mula dijual bermula 2 petang esok.

Badan induk itu dalam satu kenyataan menjelaskan tiket bermula dari harga RM20 hingga RM460 itu boleh dibeli secara dalam talian di https://my.bookmyshow.com.

Masters Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 5 hingga 10 Julai depan bakal menyaksikan kehadiran barisan pemain terbaik dunia.

"Memandangkan sambutan menggalakkan untuk tiket bagi Terbuka Malaysia, kami menjangkakan sambutan sama daripada peminat untuk Masters Malaysia.

"Saya percaya momentum daripada Terbuka Malaysia akan diteruskan ke Masters Malaysia," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Saingan Masters Malaysia yang bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$360,000 (RM1.6 juta).

Pada edisi terakhir Masters Malaysia 2020, pemain Jepun, Kento Momota muncul juara perseorangan lelaki manakala Chen Yufei dari China memenangi perseorangan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 7:17 PM