CHONG Wei ketika beraksi menentang pemain Jepun, Nishimoto pada pusingan pertama Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
CHONG Wei ketika beraksi menentang pemain Jepun, Nishimoto pada pusingan pertama Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan dia rela membayar denda daripada terpaksa memenuhi komitmen beraksi dalam 12 kejohanan diwajibkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk setahun.

Selepas masih tidak menerima maklum balas BWF berhubung permohonan pengecualian dikemukakannya, Chong Wei berkata, jalan terbaik adalah membayar denda kerana mustahil untuknya memenuhi peraturan baharu ditetapkan badan induk dunia itu memandangkan usianya kini 36 tahun.

“Saya akan bincang perkara ini dengan jurulatih dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Jika perlu bayar denda, bayar sajalah kerana saya bukan muda lagi untuk bermain dalam banyak kejohanan.

“Jika BWF mahu ubah atau kaji semula peraturan ini, sejak awal lagi mereka boleh lakukan tapi sekarang kejohanan sudah bermula.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, fokus utama saya tahun ini adalah Sukan Komanwel (di Gold Coast, April) dan Sukan Asia (di Palembang-Jakarta, Ogos),” kata Chong Wei ketika ditemui selepas perlawanan pusingan pertama Masters Malaysia, malam tadi.

Pada aksi itu, Chong Wei ditunjukkan jalan keluar selepas tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto 21-19, 18-21, 19-21.

Turut tersingkir pada pusingan pertama semalam tiga lagi pemain pilihan iaitu Lin Dan (China), Chen Long (China) dan Son Wan Ho (Korea Selatan) sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia reaksi bantahan terhadap peraturan baharu ditetapkan BWF dengan membuktikan semua pemain tidak mampu memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan.

Berdasarkan peraturan baharu BWF, semua pemain yang berada dalam kelompok 15 terbaik dunia diwajibkan menyertai 12 kejohanan setahun (tiga kejohanan Tahap 2, lima kejohanan Tahap 3 dan empat kejohanan Tahap 4).

Masters Malaysia adalah kejohanan pertama dalam Tahap 4.

Jika pemain utama tidak menyertai kejohanan yang ditetapkan tanpa alasan kukuh, mereka boleh dikenakan denda AS$5,000 (RM19,800).

Dalam situasi ini, Chong Wei kemungkinan besar secara keseluruhannya perlu beraksi 19 kejohanan tahun ini termasuk Kejohanan Dunia, Piala Thomas, Kejohanan Berpasukan Asia, Jelajah Akhir Dunia, Kejohanan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 11:32 AM