SHEVON (kanan) dan Soon Huat antara atlet negara yang tersenarai dalam program RTG. FOTO Badminton Photo
SHEVON (kanan) dan Soon Huat antara atlet negara yang tersenarai dalam program RTG. FOTO Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional, Shevon Lai berasa lega tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) kerana mereka sangat memerlukan servis sokongan terutama daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, mendapat servis sokongan adalah perkara paling mencabar buat mereka sejak menjadi pemain profesional dan perlu menggunakan duit sendiri bagi perbelanjaan berkaitan perubatan.

"Sudah tentu kami mahukan khidmat yang ada dari ISN dan MSN. Itulah cabaran yang kami terpaksa hadapi sepanjang menyertai kejohanan," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Shevon yang bergandingan bersama Goh Soon Huat mengakui, ketika berada di dalam negara mereka berdua memerlukan sokongan dari segi perubatan.

"Bagi Soon Huat dia perlu melakukan pemeriksaan di bahagian kepala yang sebelum ini dibedah. Jadi setiap kali pergi melakukan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) ia akan memakan belanja RM1,000.

"Apabila berada dalam program, mereka boleh membiayai perkara seperti itu kerana boleh dapatkannya di ISN," kata Shevon yang sekarang berada di ranking ketujuh dunia bersama Soon Huat.

Sementara itu seorang lagi pemain beregu campuran profesional, Tan Kian Meng, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana menyenaraikan namanya bersama Lai Pei Jing.

"Terima kasih kerana mempercayai kami untuk mendapatkan pingat buat negara. Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Selepas aksi tidak stabil saya dan Pei Jing memang berhasrat bangkit semula di Kejohanan Badminton Asia (BAC)," katanya.

Bagi pemain beregu wanita pula, M Thinaah yang bergandingan bersama Pearly Tan, dia berasa gembira dan bersyukur kerana tersenarai dalam program berkenaan.

"Bagaimanapun, dalam masa sama kami mahu terus kekal fokus dan beraksi dengan lebih baik. Kami harus mempertingkat permainan hari demi hari," katanya.

Seperti dijangka sukan badminton mendominasi senarai projek RTG ke Paris 2024 apabila 11 dari 15 atletnya terpilih menyertai program itu.

Selain Soon Huat-Shevon, Kian Meng-Pei Jing dan Pearly-Thinaah pemain lain ialah perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia; dua gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii.

Selain pemain badminton, antara atlet yang menyertai senarai berkenaan ialah pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal trek), Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri (terjun).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 3:53 PM