REXY MAINAKY
REXY MAINAKY
Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Bekas pakar beregu Indonesia, Rexy Mainaky sedia mempertimbangkan untuk menggalas tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya badan induk itu berminat mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, Rexy yang pernah memegang jawatan ketua jurulatih beregu negara dari 2005 hingga 2012, berkata setakat ini dia tidak dihubungi atau mendapat tawaran daripada BAM.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis pada 20 September lalu mengakui Rexy antara calon yang disenarai pendek bagi jawatan berkenaan.

“Saya tidak boleh komen panjang mengenai perkara ini kerana tiada wakil BAM yang menghubungi saya selain saya masih ada kontrak dengan Persatuan Badminton Thailand. Namun, jika ada tawaran saya sedia mempertimbangkannya,” kata Rexy ketika dihubungi, hari ini.

Jurulatih berusia 50 tahun itu ketika ini memikul tugas sebagai pengarah prestasi tinggi skuad Thailand sejak awal 2017 dan kredibilitinya terbukti apabila skuad wanita negara itu berjaya mara ke pentas final Piala Uber di Bangkok, Mei lalu.

Sebelum itu, dia menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) yang menyaksikan negara itu berjaya meraih pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi gandingan campuran, Tontowi Ahmad-Lilayana Natsir.

Walaupun tidak lagi bersama PBSI, hasil ‘air tangannya’ sebelum ini sudah menampakkan hasil dengan Indonesia kini kembali menggegar di pentas dunia terutama peningkatan prestasi ditunjukkan dua pemain perseorangan lelaki, Anthony Sinisuka Ginting yang menjuarai Terbuka China baru-baru ini dan Jonatan Christie yang memenangi pingat emas Sukan Asia 2018.

Rexy juga adalah watak penting ketika pembentukan gandingan, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang kini muncul beregu nombor satu dunia.

“Ketika saya kembali ke Indonesia, saya melakukan rombakan besar-besaran dan ia mendapat sokongan penuh daripada pimpinan tertinggi PBSI. Perkara yang paling penting adalah pemain perlu jelas dengan disiplin dan tanggungjawab mereka.

“Saya juga sentiasa mengadakan perbincangan bersama jurulatih kerana saya mahu kami mempunyai visi yang sama terhadap sasaran yang diletakkan.

“Seperti Ginting, Jonatan saya yang bawa mereka masuk. Begitu juga dengan Gideon yang sebelum itu berada di luar tetapi saya membawa dia masuk dan menggandingkannya dengan Kevin,” kata Rexy berkongsi pengalamannya ketika bersama skuad Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:03 PM